AM

PLUS Nasihat Pengguna Rancang Awal Perjalanan Sempena Sidang Kemuncak ASEAN

22/05/2025 11:13 AM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menasihati pengguna lebuh raya agar merancang perjalanan lebih awal susulan penutupan beberapa laluan secara berperingkat sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46. 

PLUS dalam kenyataan hari ini memaklumkan penutupan itu melibatkan beberapa jajaran lebuh raya kendaliannya, selaras dengan arahan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memberi laluan kepada pergerakan delegasi antarabangsa sepanjang tempoh persidangan itu.

“Penutupan berperingkat akan dilaksanakan mulai 23 hingga 26 Mei bermula 7 pagi serta pada 28 Mei mulai 8 pagi,” menurut kenyataan itu. 

Laluan terlibat antaranya ialah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Putrajaya di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), laluan Subang ke Jalan Duta di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), dan laluan Sungai Buloh ke Jalan Duta di Lebuhraya Utara-Selatan.

Menurut PLUS, pihaknya telah mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan kelancaran operasi di semua laluan terlibat dan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, khususnya anggota trafik bagi memudahkan pergerakan delegasi yang menggunakan lebuh raya PLUS.

Pengguna lebuh raya yang menuju ke atau dari KLIA serta Pangkalan Udara TUDM Subang dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kelewatan.

PLUS turut menyeru orang ramai agar mematuhi arahan pihak berkuasa dan petugas trafik di lokasi serta menggunakan laluan alternatif sekiranya perlu bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Untuk maklumat trafik terkini, pengguna boleh merujuk aplikasi PLUS, media sosial rasmi JSPT/PDRM, akaun X @PLUSTrafik, papan tanda elektronik (VMS) di lebuh raya, atau menggunakan aplikasi pandu arah seperti Google Maps dan Waze bagi merancang perjalanan dengan lebih cekap.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan