AM

Maxis Rai Pencapaian Cemerlang 42 Pelajar B40 Di Anugerah Gemilang eKelas 2025

23/05/2025 10:09 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Maxis meneruskan komitmennya terhadap pemerkasaan pendidikan menerusi Anugerah Gemilang eKelas 2025 yang meraikan pencapaian cemerlang dan peningkatan akademik ketara 42 pelajar daripada isi rumah B40 melalui pembelajaran di platform digital Maxis eKelas.

Menurut kenyataan Maxis hari ini, sebanyak 25 pelajar sekolah menengah dan 17 murid sekolah rendah dari seluruh Malaysia telah diiktiraf pencapaian mereka daripada keseluruhan 400 permohonan.

Setiap pemenang menerima bantuan kewangan untuk pendidikan masa hadapan dengan geran sebanyak RM1,500 bagi pelajar sekolah menengah dan RM750 untuk murid sekolah rendah yang dimasukkan ke dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) mereka.

Platform Maxis eKelas memperkasakan pelajar dengan kandungan dan sumber pendidikan berkualiti untuk meningkatkan prestasi akademik mereka dengan tumpuan kepada subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta menawarkan sesi tutorial secara langsung, pembelajaran berkumpulan, kandungan digital dan ciri-ciri interaktif. 

Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis Azizul Abdul Rahman berkata perjalanan ke arah kejayaan akademik sering dibentuk oleh akses kepada sokongan dan sumber pembelajaran yang tepat.

“Kami berbangga dapat menyokong perjalanan ini melalui Maxis eKelas dan meraikan kemajuan serta kecekalan yang cemerlang melalui Anugerah Gemilang eKelas.

“Dengan mengiktiraf pelajar yang telah menunjukkan peningkatan yang bermakna, kami menampilkan komitmen kami untuk merapatkan jurang digital dan menghubungkan golongan muda kepada dunia penuh peluang.”

Impak eKelas dapat dilihat dengan jelas menerusi pelajar seperti Chan Kit Yeong, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Puncak Jalil, Selangor, yang memperoleh 7A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau menghargai kuiz latihan dalam eKelas sebagai faktor yang membantunya sekali gus membuka jalan untuk mengejar impiannya dalam bidang kejuruteraan elektrik.

Nurain Farhani, 16, dari SMK Bandar Tasik Kesuma, Selangor, yang menunjukkan peningkatan dalam empat subjek tahun lepas menyifatkan eKelas sebagai sangat membantu dalam memudahkan pemahaman konsep-konsep yang rumit melalui kuiz sekali gus menjadikan pembelajaran lebih terurus dan menyokong kemajuan akademiknya dengan berkesan.

Anugerah Gemilang eKelas ialah inisiatif tahunan di bawah eKelas, program komuniti utama Maxis yang terbuka kepada pelajar Malaysia dari Tahun 4 hingga Tingkatan 5 yang mempunyai akaun eKelas serta terdiri daripada isi rumah B40.

Tahun ini, platform itu memperluas kurikulumnya bagi merangkumi subjek Tingkatan 4 dan 5 seperti Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan bersama dengan kuiz penilaian kendiri.

Modul kecerdasan buatan generatif (Gen AI) juga akan diperkenal bagi melengkapi pelajar dengan kemahiran sedia untuk masa hadapan.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Maxis eKelas dan Anugerah Gemilang eKelas, sila layari www.ekelas.com.my.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan