AM

Azizee Dilantik Ketua Polis Pulau Pinang Baharu

11/08/2025 04:19 PM

GEORGE TOWN, 11 Ogos (Bernama) -- Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman Datuk Azizee Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Pulau Pinang yang baharu berkuat kuasa pada hari ini.

Majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas berlangsung di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang disaksikan oleh Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid.

Beliau menggantikan Datuk Seri Hamzah Ahmad yang menyandang jawatan Pengarah Jabatan Intergiriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, sebelum ini jawatan berkenaan dipangku Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin.

Azizee, 59, berkata beliau akan mengadakan perbincangan bersama ketua jabatan dan ketua polis daerah di Pulau Pinang bagi merancang pelaksanaan penambahbaikan yang perlu, dan dalam masa sama mengekalkan segala perancangan sedia ada.

Beliau juga komited untuk mengekalkan prestasi penurunan jenayah di negeri itu dan berusaha mengurangkannya lagi ke tahap lebih baik pada masa hadapan.

"Ini kali kedua saya ditugaskan di Kontijen Pulau Pinang, iaitu kali pertama pada 2006 hingga 2008 (Ketua Jabatan Logistik dan Teknologi IPK Pulau Pinang) dan selepas itu ke Bukit Aman sebelum kembali semula ke negeri ini.

"Saya juga baru mendapat taklimat daripada Datuk Mohd Alwi dan akan cuba mengekalkan apa yang ada sekarang, dalam masa sama membuat penambahbaikan apa yang perlu," katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan.

Azizee memulakan kerjaya sebagai Inspektor Polis (Insp) pada 1993 di Jabatan Logistik dan Teknologi yang menyandang jawatan sebagai Pegawai Pembangunan.

Sepanjang hampir 32 tahun perkhidmatan, beliau menggalas pelbagai jawatan penting termasuk Ketua Unit Projek (Pengurusan Fasiliti), Ketua Jabatan Logistik dan Teknologi di IPK Pulau Pinang serta Pegawai Turus Pembangunan dan Penyelenggaraan di jabatan sama.

Kepakaran beliau dalam bidang logistik, pengurusan fasiliti dan pembangunan teknologi menjadikannya antara pegawai kanan yang dihormati.

Kecekapan dan pengalaman luas beliau menjadi aset penting dalam mengukuhkan keupayaan serta kecekapan operasi Polis Diraja Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan