KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Suara masyarakat peribumi terus diberi ruang dan perhatian dalam agenda perpaduan nasional, seiring prinsip keadilan sosial serta pengiktirafan terhadap warisan budaya golongan itu, kata Timbalan Menteri Perpaduan Negara Saraswathy Kandasami.
Beliau berkata masyarakat Orang Asli dan peribumi bukan sahaja kelompok penting dalam struktur demografi negara, malah menjadi antara pemacu utama pembentukan identiti budaya dan sejarah Malaysia.
“Justeru, usaha untuk mengiktiraf, melindungi dan memperkasakan komuniti peribumi perlu dilaksanakan secara berterusan dan inklusif,” katanya ketika merasmikan Program Citra Nusa@Muzium: ASEAN Natives and Indigenous Festival 2025 di Muzium Negara, di sini hari ini.
Program yang berlangsung selama dua hari itu ialah anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Jabatan Muzium Malaysia (JMM) bersempena dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, serta sambutan Hari Orang Asli Sedunia.
Program berkenaan mengetengahkan warisan budaya serta seni masyarakat Orang Asli dan peribumi di Malaysia, selain memperkenalkan etnik dari negara-negara ASEAN seperti Mentawai (Indonesia), Karen (Thailand) serta Aeta atau Negrito (Filipina).
Mengenai program berkenaan, Saraswathy berkata ia merupakan platform berimpak besar dalam memperkenalkan kepelbagaian warisan negara, termasuk meningkatkan penghayatan masyarakat tentang kekayaan budaya, sejarah dan alam semula jadi.
Sementara itu, Ketua Pengarah JMM Datuk Kamarul Baharin A. Kasim berkata penganjuran program itu membuktikan bahawa masyarakat peribumi bukan golongan terpinggir, sebaliknya berpotensi cemerlang dalam pelbagai bidang.
“Kita mahu tunjukkan kepada orang ramai bahawa golongan mereka (Orang Asli dan peribumi) juga boleh berjaya, ada yang menjadi tokoh masyarakat, usahawan, bahkan pempengaruh seperti Jungle Girl, sekali gus menjadi sebahagian penting dalam arus kemajuan negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.
Bertemakan "Dahulu & Kini", program itu menampilkan pelbagai tarian tradisional termasuk Tarian Sumazau (Kadazan, Sabah), Tarian Ngajat (Orang Ulu, Sarawak), Seri Kala Temiar dan Bahbola Semai dari Semenanjung, Tarian Aeta, Tarian Karen serta Tarian Mentawai.
Selain persembahan kebudayaan, pengunjung juga berpeluang menyaksikan demonstrasi kraf dan warisan seperti penyediaan makanan tradisional etnik (Gastronomika & Eksotika), ukiran patung dan topeng tradisional, sumpitan kayu, pembuatan perahu jalur dan gasing tradisional.
Reruai jualan turut menawarkan pelbagai hasil kraf tangan, aksesori perhiasan, buku kraf tangan, kemeja-T bercorak etnik, produk kecantikan berasaskan alam semula jadi dan herba kesihatan komuniti peribumi, manakala aktiviti seperti pertandingan menyumpit, permainan kerchang, kuiz interaktif, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak dan cabutan bertuah juga disediakan kepada pengunjung.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial