DUNIA

2 Penjawat Awam Disyaki Terlibat Aktiviti Keganasan ditahan Di Aceh

06/08/2025 09:16 PM

JAKARTA, 6 Ogos (Bernama) -- Polis Republik Indonesia (Polri) menahan dua penjawat awam di Aceh pada Selasa kerana disyaki mempunyai kaitan dengan rangkaian pengganas, menurut pegawai.

Tangkapan itu dilakukan oleh unit elit antikeganasan Densus 88, yang turut menjalankan serbuan di beberapa lokasi yang disyaki digunakan untuk kegiatan pengganas atau menyimpan bahan berkaitan kesalahan keganasan.

Jurucakap Polis Aceh Pesuruhjaya Joko Krisdiyanto mengesahkan bahawa suspek telah ditahan namun enggan mengulas mengenai dakwaan khusus terhadap mereka.

“Buat masa ini, kami sedang menunggu laporan lanjut daripada pasukan petugas wilayah Densus 88 di Aceh, termasuk perkembangan terkini berkaitan prosiding undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.

Dua individu itu, yang dikenal pasti berdasarkan inisial MZ, 40, seorang penjawat awam di Pejabat Wilayah Kementerian Agama Aceh, dan ZA, 47, yang bekerja di Pejabat Pelancongan Kota Banda Aceh, ditahan dalam operasi berasingan.

MZ ditahan di sebuah kedai kopi di bandar itu, manakala ZA ditahan di sebuah bilik pameran kereta di kawasan Batoh.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan