KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Menteri Sumber Manusia Steven Sim hari ini mengucapkan tahniah kepada Datuk Abdul Halim Mansor yang dipilih menerajui Presiden Majlis Am Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
Menerusi hantaran di platform Instagram hari ini, Sim yakin Abdul Halim yang berpengalaman lebih 40 tahun dalam gerakan kesatuan sekerja mampu memimpin MTUC dengan penuh kebijaksanaan dan iltizam dalam memperjuangkan hak, kebajikan dan maruah pekerja di Malaysia.
“Saya turut menjemput kepimpinan MTUC yang baharu melawat pejabat saya di Wisma Pekerja bagi memperbaharui kerjasama antara KESUMA dengan MTUC.
“MTUC kekal sebagai rakan strategik kerajaan dalam merangka dasar yang adil, progresif dan berpaksikan suara pekerja,” katanya.
Pada Persidangan Perwakilan MTUC baru-baru ini, Abdul Halim menang selepas meraih 227 undi mengatasi Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkeranian Pos Malaysia Berhad Semenanjung Malaysia (UPCW) Mohd Effendy Abdul Ghani yang memperoleh 218 undi.
Pada 21 Feb lepas, Mahkamah Rayuan mengarahkan agar MTUC melaksanakan pemilihan semula kepimpinan dalam tempoh 90 hari yang akan diuruskan oleh Jawatankuasa Bersama Khas (JBK).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial