KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Rakan strategik menyifatkan tajaan untuk menyokong dan menjayakan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 penting dalam usaha memperkukuh peranan media bagi menaikkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.
Pengarah Urusan Kumpulan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata pihaknya memilih untuk menjadi penaja rasmi lokasi sambutan HAWANA pada tahun ini sebagai cara bagi menzahirkan penghargaan kepada semua pengamal media di Malaysia.
Beliau berkata HAWANA adalah platform terbaik untuk mengiktiraf serta menghargai jasa dan sumbangan pengamal media.
“Konsep penganjuran sesuatu program atau acara tidak harus melibatkan satu entiti sebaliknya perlu digabungkan dengan pelbagai agensi bagi memastikan misi dan visi penganjuran dapat direalisasikan dengan lebih berkesan,” katanya kepada Bernama.
Irmohizam berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Bersama Rakan Strategik Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 dan pelancaran Motorhome-Bernama Mobile Studio di Wisma Bernama hari ini.
Bagi Eksekutif Komunikasi Jenama GM Klang Nurhani Yasmeen Mohd Zainan, beliau berharap sumbangan yang diberikan dapat membantu memajukan industri media dan wartawan untuk terus berkembang dengan lebih baik.
Beliau berkata pihaknya terpanggil untuk memberi sokongan kepada HAWANA bagi menghargai peranan media yang sentiasa menyokong pembangunan industri tempatan.
“Peranan media amat diperlukan dalam menyampaikan maklumat tentang aktiviti GM Klang,” katanya.
Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) Natasha Abd Aziz pula berkata pengamal media terutama Bernama sentiasa menjadi penyokong kuat bagi memastikan setiap inisiatif Permodalan Nasional Berhad (PNB) diperluas dalam memperkasa pengurusan kewangan rakyat.
“Bernama memainkan peranan penting dalam pembangunan negara sebagai sumber berita utama menyampaikan maklumat kepada rakyat.
“Kami amat menghargai usaha para wartawan yang sentiasa berdepan cabaran dalam menghasilkan laporan berkualiti,” katanya.
HAWANA 2025 menerima tajaan dan sumbangan daripada 79 rakan strategik, yang menyaksikan peningkatan berbanding 44 pada 2024, sekali gus mencerminkan kepercayaan yang semakin meningkat terhadap penganjuran acara terbesar dalam industri kewartawanan negara.
Sambutan HAWANA 2025 akan berlangsung di WTC KL dari 13 hingga 15 Jun ini dengan kemuncak sambutan pada 14 Jun yang bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Lebih 1,000 pengamal media, wakil-wakil persatuan wartawan tempatan dan media negara anggota ASEAN dijemput sekali gus menghimpunkan kumpulan media profesional serta pakar industri sambil bertukar-tukar idea selain menjalinkan hubungan strategik.
HAWANA, yang memasuki edisi kelima tahun ini selepas penganjuran pertama pada 2018, merupakan acara tahunan yang menghimpunkan pengamal media bagi menghargai peranan dan sumbangan mereka dalam pembangunan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial