KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) Edisi Kedua (2024) yang telah ditambah baik Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) akan mula berkuat kuasa pada 1 Ogos 2026.
Menterinya Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata MQF 2.0 merupakan kerangka bersepadu untuk semua kelayakan meliputi sektor akademik hingga Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Beliau berkata kerangka itu memberi penekanan kepada hasil pembelajaran, sistem kredit yang jelas, serta integrasi nilai kelestarian dan kompetensi negara untuk melahirkan graduan holistik dan bertanggungjawab.
“Inilah antara pencapaian yang membanggakan kita semua atas dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi Malaysia, yang sekarang ini telah mencapai kejayaan cemerlang.
“Saya ucapkan taniah kepada MQA dan seluruh ekosistem yang membantu dalam pencapaian ini,” katanya berucap pada Majlis Anugerah MQA 2025 yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di sini malam ini.
Dalam pada itu, Zambry berkata majlis yang julung kalinya dianjurkan itu, bertujuan mengiktiraf kecemerlangan kualiti dalam pendidikan tinggi negara.
Universiti Tenaga Nasional diumumkan sebagai penerima Anugerah Utama Kategori Anugerah Utama Jaminan Kualiti yang menerima trofi dan sijil.
Anugerah itu merangkumi semua sektor pendidikan tinggi termasuk universiti awam, swasta, politeknik, kolej komuniti, kolej swasta dan institut latihan awam, selari dengan aspirasi Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025-2035.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial