Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Isnin, disokong oleh peningkatan paras stok yang lebih perlahan berbanding jangkaan di samping prestasi eksport yang memberangsangkan.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata pergerakan dagangan hari ini juga meneruskan kenaikan kukuh yang dicatatkan minggu lepas.
Beliau berkata harga MSM meningkat melepasi paras RM4,300 satu tan hari ini dan dijangka kekal disokong pada harga itu.
“Kami mendapati harga MSM disokong pada RM4,300 satu tan manakala paras rintangan pada RM4,450 satu tan,” katanya kepada Bernama.
Menurut laporan Industri Minyak Sawit Julai 2025 yang dikeluarkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), eksport minyak sawit meningkat 3.82 peratus bulan ke bulan kepada 1.30 juta tan pada Julai daripada 1.26 juta tan pada Jun 2025.
Bekalan stok MSM susut 2.02 peratus kepada 1.02 juta tan pada Julai berbanding 1.04 juta tan pada Jun, manakala jumlah inventori minyak sawit keseluruhan meningkat 4.02 peratus kepada 2.11 juta tan daripada 2.03 juta tan.
Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics, Dr Sathia Varqa berkata stok akhir Julai sebanyak 2.11 juta tan adalah lebih rendah berbanding jangkaan pasaran iaitu peningkatan 10 hingga 11 peratus kepada sekitar 2.23 hingga 2.25 juta tan, namun paras tersebut masih yang tertinggi dalam tempoh 19 bulan.
“Sentimen ini disokong oleh data eksport yang kukuh daripada syarikat penyelidik kargo. Di samping itu, kerajaan Indonesia dilaporkan merancang untuk melaksanakan mandat biodiesel B50 pada 2026 menambah baik sentimen pasaran,” katanya.
Bagi tempoh 1 hingga 10 Ogos, Intertek Testing Services (ITS) melaporkan eksport sebanyak 482,576 tan, meningkat 23.31 peratus daripada 391,355 tan dalam tempoh sama bulan lepas.
Syarikat penyelidik bebas Amspec Agri Malaysia turut melaporkan trend yang sama, dengan penghantaran meningkat 23.67 peratus kepada 453,230 tan daripada 366,482 tan sebelum ini.
Pada penutupan, kontrak bagi serahan Ogos 2025 dan September 2025 masing-masing naik RM120 kepada RM4,334 satu tan dan RM4,354 satu tan, manakala Oktober 2025 menokok RM129 kepada RM4,384 tan.
November 2025 melonjak RM130 kepada RM4,404 satu tan, Disember 2025 menambah RM129 kepada RM4,413 satu tan, dan Januari 2026 meningkat RM122 kepada RM4,411 satu tan.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 83,281 lot daripada 91,640 lot pada Jumaat lepas, manakala kepentingan terbuka susut kepada 227,408 kontrak daripada 311,976 kontrak.
Harga MSM fizikal bagi Ogos Selatan meningkat RM100 kepada RM4,350 satu tan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial