AM

134 Penggiat Pelancongan Sertai ‘JIWA’, Perkukuh Pelancongan Rentas Sempadan Malaysia-Indonesia

11/08/2025 11:20 AM

Daripada Hasnah Jusid

RIAU, 11 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 134 penggiat industri pelancongan dari Riau dan Kepulauan Riau di Indonesia serta Melaka dan Johor menyertai Platform Jiran Istimewa (JIWA), satu inisiatif Special Border Treatment dalam usaha memperkukuh promosi pelancongan rentas sempadan di wilayah perbatasan Selatan Semenanjung.

Konsul Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru Sigit S. Widiyanto berkata daripada jumlah itu, sebanyak 49 peserta dari Kepulauan Riau, 41 (Riau), 35 (Johor) dan sembilan (Melaka).  

Beliau berkata dengan hanya menunjukkan Kartu Tanda Penduduk (KTP) Riau atau Kepulauan Riau, atau kad pengenalan dengan kod Melaka atau Johor, penduduk keempat-empat wilayah layak menikmati pelbagai keistimewaan seperti potongan harga daripada penggiat industri pelancongan yang mengambil bahagian dalam JIWA.

“Ini sekali gus akan menggalakkan sektor pelancongan saling melengkapi antara kedua-dua negara termasuk pelancongan kesihatan, membeli-belah, kulinari dan taman tema. Penyertaan meluas penggiat industri menunjukkan potensi besar kerjasama pelancongan antara wilayah yang berdekatan secara geografi, sosial, budaya dan sejarah.

“JIWA menjadi contoh nyata bagaimana hubungan rapat wilayah perbatasan dapat memberi manfaat langsung kepada rakyat,” katanya kepada Bernama selepas majlis pelancaran platform JIWA Melaka-Riau , aktiviti sisipan sempena program Pekan Budaya Melayu Serumpun 2025 di Jalan Sultan Syarif  Qasim, Pekanbaru di sini pada Sabtu. 

Turut hadir Konsul Jeneral Malaysia di Pekanbaru Mohammed Hosnie Shahiran Ismail dan Pemangku Sekretaris Daerah (Sekda) Provinsi Riau M Job Kurniawan.

JIWA Melaka–Riau adalah kesinambungan inisiatif JIWA Johor-Kepulauan Riau yang dilancarkan pada Mei lepas, dengan orang ramai boleh menyaksikan penggiat industri yang mengambil bahagian menerusi laman sesawang https://www.jiran-istimewa.com.

Sigit berkata penyedia perkhidmatan e-panggilan, Grab antara yang turut menyertai JIWA apabila menawarkan potongan harga perkhidmatan yang sah digunakan di Riau dan Kepulauan Riau bagi pelawat dari Melaka dan Johor.

Beliau berkata pelancaran JIWA di Riau melengkapkan peluncuran platform berkenaan di dua wilayah Indonesia, manakala pelancaran rasmi di Johor dan Melaka diharap dapat diadakan dalam masa terdekat.

“Kita mahu keempat-empat wilayah ini secara rasmi meluncurkan JIWA, sama ada sebagai acara utama atau acara sampingan program sedia ada. Dengan cara ini, dunia boleh melihat ada satu kerjasama nyata yang memberi keuntungan kepada penduduk perbatasan,” katanya.

Sigit berkata program itu turut selari dengan hasil Pertemuan Konsultasi Tahunan antara Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 29 Julai lepas, antara lain menekankan pengukuhan kerjasama pelancongan kedua-dua negara melalui pendekatan inovatif.

Mohammed Hosnie pula berharap lebih banyak pemain industri akan menyertai JIWA yang dilihat akan menyumbang ke arah pengukuhan talian persaudaraan antara rakyat kedua-dua negara menerusi keistimewaan yang dikongsi bersama.

“Berdasarkan data daripada Dinas Pariwisata (Jabatan Pelancongan) Provinsi Riau, purata pengunjung warga Riau ke Malaysia sebanyak 400 orang sehari. Jadi pengusaha di Melaka juga harus manfaatkan kelebihan ini dengan menyertai JIWA,” katanya. 

Sementara itu, Job memaklumkan bahawa inisiatif JIWA merupakan antara hasil perbincangan dalam Mesyuarat Sosial Ekonomi Malaysia-Indonesia (Sosek Malindo), sebuah forum kerjasama dua hala yang melibatkan negeri di Malaysia serta provinsi di Indonesia yang berkongsi sempadan.

JIWA yang menghubungkan empat wilayah dari kedua-dua negara ini diharap membuka lebih banyak peluang kerjasama strategik termasuk bidang pelancongan, pendidikan dan penempatan kerja.

“Masyarakat Riau banyak melancong dan mendapatkan khidmat kesihatan di negeri jiran, terutamanya Johor dan Melaka. Jika sebanyak sejuta penduduk Riau melancong dan membelanjakan purata 10 juta rupiah setahun di sana, jumlah itu setara dengan hasil jualan tahunan di wilayah ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan