AM

PMR 2025 Kelantan: Imperium Batik Ventures Tampilkan Lebih 30 Corak Batik Blok, Angkat Identiti Warisan

08/08/2025 05:50 PM

KOTA BHARU, 7 Ogos (Bernama) -- Batik yang dihasilkan menggunakan blok tembaga atau kayu tetap mempunyai daya tarikan tersendiri kepada penggemarnya kerana sesuai dijadikan busana tradisional termasuk baju kurung dan baju kebaya.

Pengusaha Imperium Batik Ventures Muhammad Fadhillah Ibrahim, 28, berkata permintaan terhadap batik blok ketika ini semakin meningkat kerana motif yang dihasilkan menggambarkan keindahan dan kehalusan budaya Melayu serta pengaruh alam seperti bunga, daun dan ukiran geometri.

"Saya merupakan generasi ketiga yang mewarisi perusahaan batik yang diusahakan oleh nenek moyang saya sejak dahulu lagi kerana bagi saya warisan ini perlu dipelihara serta dijaga dan batik blok ini masih relevan sehingga hari ini.

"Kami boleh hasilkan lebih 30 corak batik blok seperti bunga raya, bunga matahari serta butir beras dan setiap corak yang dihasilkan memerlukan ketelitian yang tinggi supaya corak tercetak dengan sempurna serta warna tidak luntur ketika dicap berulang kali," katanya kepada Bernama sempena Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini.

Muhammad Fadhillah berkata proses pembuatan batik blok bermula dengan penghasilan blok kayu yang diukir dengan corak tertentu dan dicelupkan ke dalam pewarna sebelum dicap berulang kali pada kain yang biasanya diperbuat daripada kapas atau sutera.

"Untuk PMR 2025 di Kelantan ini, saya jual pelbagai jenis corak batik blok pada harga antara RM150 hingga RM300 dan turut memberi diskaun sehingga 20 peratus.

"Pastinya corak batik blok ini sesuai dipakai oleh semua peringkat umur dan jantina kerana coraknya bukan sahaja mencerminkan keindahan alam semula jadi tetapi juga membawa makna simbolik berkaitan adat dan tradisi tempatan," katanya.

Pekerja swasta, Siti Aminah Zahari, 28, berkata kepelbagaian corak batik blok dengan warna-warna cerah seperti merah, biru, hijau dan kuning menjadikan batik itu kelihatan menarik dan berbeza dengan batik lukisan tangan yang lebih terperinci dan rumit.

PMR 2025 Kelantan yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini diterajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) serta disokong pelbagai kementerian dan agensi kerajaan lain.

Program berkenaan menawarkan lebih 100 perkhidmatan terus kepada rakyat, pameran teknologi terkini serta pelbagai inisiatif mendekati masyarakat melalui pendekatan menyeluruh Kerajaan MADANI.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan