AM

STIZ Mampu Lonjak Kehadiran Pelancong, Tingkat Potensi Pelancongan Negeri - Pemain Industri

05/08/2025 04:42 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Inisiatif kerajaan untuk membangunkan Zon Khas Pelaburan Pelancongan (STIZ) khususnya di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Sarawak diyakini mampu melonjakkan jumlah kehadiran pelancong sekali gus meningkatkan pelaburan dalam sektor itu di negeri terlibat.

Setiausaha Persatuan Pelancongan Mersing (MTA) Ahmad Firdaus Shaik Omar optimis inisiatif berkenaan akan membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada pemain industri tempatan termasuk usahawan perusahaan kecil, mikro dan sederhana (PMKS), pengusaha inap desa serta pemandu pelancong. 

"Justeru, MTA sentiasa komited untuk terus bekerjasama dengan semua pihak sama ada kerajaan, swasta atau komuniti dalam memastikan pembangunan ini memberi manfaat secara menyeluruh kepada industri serta rakyat," katanya kepada Bernama.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Hotel Johor Ivan Teo pula berkata STIZ akan mengembangkan lagi potensi pelancongan di negeri itu yang kaya dengan seni, budaya, warisan dan alam semula jadi.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemilik Homestay dan Kampungstay Melaka Datuk Akramuddin Abd Aziz menyifatkan langkah strategik kerajaan menerusi STIZ itu sebagai platform terbaik dalam mempromosi keunikan budaya tempatan.

"Ia satu peluang besar untuk Melaka menampilkan tarikan baharu dan mempelbagaikan produk pelancongan. Dengan pelaksanaan terancang, saya yakin Melaka akan menjadi destinasi pilihan utama di rantau ini,” katanya.

Beliau yakin STIZ juga mampu menjadi tarikan berterusan yang menjana peluang pekerjaan, menggiatkan keusahawanan tempatan dan mengukuhkan komuniti pelancongan di Melaka.

Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel Negeri Sembilan (MAH) Haziz Hassan pula berkata selain STIZ,  tumpuan kerajaan terhadap sektor inap desa akan memperkasakan industri pelancongan di luar bandar yang secara langsung menawarkan lebih banyak pilihan kepada pelancong selain penginapan di hotel.

"Pembangunan industri pelancongan dan sosioekonomi yang dirancang Kerajaan MADANI ini sangat baik, semoga ia dapat diteruskan sepanjang tahun bukan hanya untuk Tahun Melawat Malaysia sahaja," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha Inap Desa dan Eko Pelancongan Padawan Amirrudin Abdullah mencadangkan pembangunan STIZ di Sarawak akan turut melibatkan bantuan berterusan serta sokongan kepada pengusaha inap desa merangkumi latihan, pensijilan dalam bidang hospitaliti, pemasaran digital serta keselamatan pelancongan.

Amirrudin turut berharap kerajaan dapat menaik taraf infrastruktur asas seperti jalan raya dan papan tanda pelancongan, memperluas promosi inap desa dalam pakej pelancongan negeri serta menyediakan geran untuk pengusaha meningkatkan fasiliti tanpa menjejaskan identiti budaya tempatan.

"Promosi pelancongan ke kawasan pedalaman telah membuka peluang baharu kepada komuniti setempat, namun masih banyak cabaran yang perlu diatasi agar manfaat ini dapat dikekalkan secara mampan.

“Peningkatan minat terhadap pelancongan berasaskan alam semula jadi dan budaya sejak kebelakangan ini telah membawa impak positif kepada pengusaha inap desa di kawasan luar bandar seperti Padawan,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Khamis lepas berkata kerajaan akan terus memperkasakan sektor pelancongan menerusi pembangunan STIZ, pemuliharaan aset warisan di ibu negara serta pemerkasaan industri inap desa sepanjang tempoh rancangan lima tahun itu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sektor pelancongan kini semakin segar dengan peningkatan menakjubkan apabila perbelanjaan pelancong asing di dalam negara melonjak kepada RM102.2 bilion pada 2024.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan