JENAYAH & MAHKAMAH

Anggota Polis Cedera Ditetak Individu Disyaki Kurang Siuman

03/08/2025 09:10 AM

KUANTAN, 3 Ogos (Bernama) -- Seorang anggota polis cedera akibat ditetak dengan parang oleh seorang lelaki dipercayai kurang siuman di sebuah rumah di Felda Bukit Kuantan di sini semalam.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata kejadian itu mengakibatkan Koperal Mohd Shafril Izzwan Ismail, 37, yang bertugas di balai polis Panching mengalami kecederaan di bahagian belakang badan, dagu serta jari tangan kiri.

Beliau berkata kejadian berlaku kira-kira 5.30 petang semasa sepasukan anggota polis ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat berhubung tindakan seorang lelaki yang mengamuk bersenjatakan parang di rumah berkenaan.

“Semasa menjalankan tugas untuk mententeramkan keadaan, Mohd Shafril telah diserang oleh suspek dengan senjata berkenaan. Anggota itu kemudian telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan kini dirawat di Zon Kuning,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis telah membuat tangkapan terhadap suspek berusia 37 tahun yang tidak bekerja serta dipercayai mengalami masalah mental. 

“Polis juga telah merampas beberapa bilah senjata tajam di lokasi kejadian dan suspek turut dirujuk ke Wad Psikiatri HTAA bagi tujuan pemeriksaan kesihatan mental,” katanya. 

Bagaimanapun, suspek berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan