AM

Rapid Penang On-Demand Perluas Perkhidmatan Di Tujuh Zon Mulai 31 Mei

27/05/2025 08:43 PM

GEORGE TOWN, 27 Mei (Bernama) -- Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) akan memperluas perkhidmatan Rapid Penang On-Demand menerusi fasa pembuktian konsep (PoC) selama tiga bulan bermula 31 Mei ini dengan melibatkan tujuh zon.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) Prasarana Malaysia Berhad Amir Hamdan berkata pihaknya mengenal pasti zon terbabit berdasarkan permintaan penduduk setempat, kepadatan populasi dan keperluan untuk meningkatkan kesalinghubungan dengan liputan perkhidmatan laluan bas sedia ada.

Beliau memaklumkan zon pertama iaitu Zon Alma bakal dilengkapi empat van yang akan menghubungkan penumpang dengan laluan bas sedia ada seperti 708 (Bukit Mertajam-Junjung), 801 (Penang Sentral-Nibong Tebal) dan 802 (Bukit Mertajam-Nibong Tebal).

''Seterusnya Zon BM (Bukit Mertajam) City pula akan beroperasi dengan tiga van di pusat bandar Seberang Perai Tengah yang memberi penyelesaian bagi capaian batuan pertama dan terakhir serta menerusi kesalinghubungan yang lebih baik dengan rangkaian bas sedia ada.

"Ia melibatkan laluan 606 (Bukit Mertajam-Kepala Batas), 701 (Bukit Mertajam-Penang Sentral), 702 (Bukit Mertajam-Penang Sentral), 707 (Bukit Mertajam-Taman Pelangi), 708 (Bukit Mertajam-Junjung), 709 (Penang Sentral-Machang Bubuk), 802 (Bukit Mertajam-Nibong Tebal) dan CT14 (Bukit Mertajam-Komtar)," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Amir berkata Zon Bayan Baru pula melibatkan tiga van yang akan menyediakan akses ke perkhidmatan bas laluan sedia ada termasuk laluan 301 (Weld Quay-Relau), 302 (Weld Quay-Batu Maung), 303 (Weld Quay-Bukit Gedung), 304 (Persiaran Gurney-Bukit Gedung),306 (Hospital-Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang), 308 (Sungai Nibong-Gertak Sanggul), 401 (Weld Quay-Teluk Kumbar), 401E (Weld Quay-Balik Pulau) dan CT13 (Bayan Baru-Seberang Jaya).

Beliau berkata dua van bagi Zon Bertam untuk menghubungkan penumpang dengan laluan 601 (Penang Sentral-Kepala Batas), 606 (Bukit Mertajam-Kepala Batas) dan 610 (Kepala Batas-Tasek Gelugor) bagi membantu mengurangkan waktu menunggu.

"Zon Balik Pulau juga akan mempunyai dua van bagi capaian batuan pertama dan terakhir dengan bas laluan sedia ada iaitu laluan 401E (Balik Pulau-Weld Quay), 403 (Balik Pulau-Pulau Betong), 404 (Balik Pulau-Pantai Acheh) dan 502 (Pekan Genting, Balik Pulau-Weld Quay).

“Zon Transkrian atau Nibong Tebal turut melibatkan dua van zon yang akan beroperasi khususnya di kawasan Transkrian bagi menghubungkan komuniti setempat dengan jaringan perkhidmatan bas Rapid Penang manakala tiga van bagi Zon Batu Kawan yang merupakan kawasan perindustrian, komersial dan hab kediaman baharu yang masih belum mempunyai jaringan pengangkutan awam di sekitarnya,” kata beliau.

Amir berkata sepanjang tempoh P0C, Rapid Bus akan memantau corak permintaan dan penggunaan bagi memastikan perkhidmatan sentiasa relevan serta menepati keperluan sementara pelaksanaan penambahbaikan adalah berdasarkan hasil penilaian dan maklum balas penumpang.

Sehingga pertengahan bulan Mei, perkhidmatan itu telah beroperasi di enam zon melibatkan 31 van dengan kadar purata harian seramai 1,828 orang sekali gus menunjukkan penerimaan baik dalam kalangan penumpang.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan