AM

Johor Galak Pemain Industri Guna Solar Sebagai Sumber Tenaga

27/05/2025 03:35 PM

BATU PAHAT, 27 Mei (Bernama) -- Kerajaan Johor terus komited menjayakan agenda pembangunan mampan menerusi inisiatif Johor Green Deal bagi memelihara alam sekitar, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga tradisional.

Ketua Pegawai Eksekutif Johor Sustainability Centre (JSC) Fayzul Omar berkata antara yang giat digerakkan kini ialah menggalakkan pemain industri di negeri itu, untuk beralih kepada penggunaan tenaga solar sebagai sumber tenaga alternatif.

Beliau berkata melalui kerjasama strategik kerajaan negeri menerusi JSC, agensi kerajaan lain dan sektor swasta, pelbagai inisiatif dan insentif ditawarkan bagi menyokong transformasi tenaga boleh diperbaharui ini.

“Dengan menggalakkan industri perkilangan dan bidang komersil menggunakan tenaga alternatif (tenaga solar) ia selari dengan hasrat Johor untuk menjadi negeri rendah karbon menjelang tahun 2030.

“Antara insentif yang ditawarkan termasuklah Skim Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (GITE) Solar Leasing oleh Lembaga Pembagunan Pelaburan Malaysia (MIDA),” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Program Kesedaran Kelestarian Serta Penglibatan Industri (Tenaga Solar) Daerah Batu Pahat, di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, hari ini.

Fayzul berkata melalui skim berkenaan, syarikat penyedia perkhidmatan pajakan solar layak menikmati pengecualian cukai atas pendapatan yang dijana, serta menggalakkan penggunaan tenaga solar secara lebih meluas juga mampu milik.

“Komitmen kerajaan negeri juga merangkumi tiga pendekatan utama iaitu campuran tenaga lebih bersih, pemeliharaan alam sekitar dan mengurangkan kebergantungan bahan api fosil, sekali gus melindungi ekosistem semula jadi.

“Pihak industri juga turut diseru untuk mengambil peluang dalam mengamalkan perindustrian lestari, yang bukan sahaja membantu mengurangkan pelepasan karbon serta mencipta peluang pekerjaan yang berasaskan teknologi bersih,” katanya.

Sementara itu, Pengarah MIDA Johor Mohamad Reduan Mohd Zabri berkata setakat ini, sambutan untuk penggunaan tenaga solar di negeri itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pemain industri, terutamanya di kawasan Batu Pahat dan Pasir Gudang, dengan mendapat kerjasama daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Banyak pengusaha kilang dan komersil menunjukkan minat untuk menggunakannya (tenaga solar), serta kerjasama yang baik oleh PBT termasuk Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan PBT lain,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan