KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Kerajaan dicadang memberikan insentif pelepasan cukai kepada pengguna pengangkutan awam bagi menggalakkan orang ramai termasuk golongan M40 dan T20 menggunakan kemudahan itu.
Syahredzan Johan (PH-Bangi) berkata langkah itu dapat menyokong usaha kerajaan dalam mencapai sasaran 40 peratus pengguna pengangkutan awam menjelang 2030.
“Ketika ini, penggunaan pengangkutan awam kita masih rendah, sekitar 20 peratus daripada populasi sahaja,” katanya ketika perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata pihak terlibat dicadangkan untuk menetapkan sasaran jelas pembelian bas baharu pada setiap tahun bagi menambah baik kekerapan perkhidmatan berkenaan.
Dalam pada itu, Azli Yusof (PH-Shah Alam) dalam perbahasannya berharap kerajaan dapat melipatgandakan usaha menambah hasil tanpa membebankan rakyat termasuk dengan menutup jurang ketirisan cukai, memperkemas subsidi bersasar dan menyemak perbelanjaan operasi yang tidak produktif.
Beliau berkata kaedah pembiayaan projek juga perlu direformasi dengan model baharu seperti Perkongsian Awam-Swasta (PPP), Sukuk Hijau serta instrumen pelaburan sosial dengan mengambil kira tadbir urus telus dan bebas daripada ketirisan.
Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) pula mencadangkan kerajaan mewujudkan Pusat Kecemerlangan Nasional bagi unsur nadir bumi (REE) untuk merancakkan pembangunan industri nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di negara ini.
Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata kerajaan dicadangkan memberi penumpuan aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengkomersialan dan inovasi (C&I) kepada sektor yang menjadi kelebihan kepada negara dan keperluan setempat seperti industri pertanian pintar, tenaga boleh baharu dan bioteknologi halal.
“Kerajaan juga perlu mewujudkan mekanisme pemantauan dalam memastikan peruntukan RMK13 bagi aspek R&D serta C&I ini menghasilkan impak maksimum,” katanya.
Dalam aspek pendidikan, Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) mencadangkan supaya kemudahan prasekolah kerajaan yang kini disediakan tiga kementerian berbeza digabungkan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) supaya negara mempunyai satu pendekatan menyeluruh untuk pendidikan prasekolah.
Beliau berkata Jawatankuasa Khas Pendidikan Islam Prasekolah turut digesa mengambil tindakan sewajarnya terhadap dakwaan yang mengatakan guru-guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) tidak menerima gaji selaras dengan Dasar Gaji Minimum.
“Ada banyak aduan termasuk daripada guru soal penggajian yang diberikan RM600 atau RM700 atas alasan mereka sukarela dan bukannya pekerja. Ini jelas satu pelanggaran Akta Majlis Perundingan Gaji Negara,” katanya.
Persidangan bersambung esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial