AM

10 Sekolah Terpilih Laksana Fasa Kedua Projek Mini Kota Buku 2025

11/08/2025 05:23 PM

 KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) --Perbadanan Kota Buku (PKB) mengumumkan 10 sekolah terpilih bagi pelaksanaan fasa kedua Projek Mini Kota Buku 2025, inisiatif strategik berimpak tinggi untuk memperkukuh budaya membaca dan literasi di sekolah.

Dalam kenyataan hari ini, PKB memaklumkan projek yang dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Redang (K9) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Batu Kerteh di Terengganu;

Turut terpilih ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hua 1 dan SJKC Aulong di Perak; SK Taman Rinting 3, Johor; SK Lukut, Negeri Sembilan; SK Tangkungon, Sabah; SK Pendidikan Khas Kuching, Sarawak; SMK Padang Temu, Melaka; serta SMK Bandar Baru Salak Tinggi, Selangor.

Menurut PKB, pelaksanaan fasa kedua akan merangkumi penaiktarafan fasiliti pusat sumber, pembinaan sudut bacaan kelas, penyediaan pod bacaan moden, pengisian bahan bacaan digital, pembekalan buku melalui platform Book Capital serta pengaktifan Kelab NILAM dan aktiviti literasi di sekolah.

Sekolah terpilih juga akan menerima peruntukan dalam bentuk perabot dan rak baharu, bahan bacaan fizikal dan digital, peralatan teknologi pendidikan, selain sokongan program literasi.

“Pelaksanaan dijadualkan bermula Ogos hingga Disember 2025, dan akan diakhiri dengan sesi pelancaran rasmi serta penyerahan projek.

“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada agenda nasional memperkukuh budaya ilmu selaras aspirasi Malaysia MADANI dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, di samping menyediakan model pelaksanaan pusat sumber sekolah abad ke-21 yang dinamik dan mesra pengguna,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif PKB Adibah Omar berkata usaha berkenaan bukan sahaja memperkasa kemudahan fizikal, malah membina ekosistem pembacaan berterusan dan inklusif.

“Kami percaya pelaksanaan fasa kedua ini akan memberi impak positif kepada ribuan murid, termasuk dalam pendidikan khas, sekali gus memupuk minat membaca sejak di bangku sekolah,” katanya dalam kenyataan sama.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan