KOTA BAHRU, 11 Ogos (Bernama) -- Empat maut termasuk dua kanak-kanak, manakala seorang lagi cedera parah selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori treler di Jalan Utama, Felda Chiku 1 di sini pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.07 pagi sebelum menghantar anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi pada 9.34 pagi, didapati sebuah kereta Honda bertembung dengan lori treler menyebabkan lima mangsa dalam kereta tersepit.
“Pemandu lori selamat manakala seorang wanita dewasa yang memandu kereta berada dalam keadaan nazak dan empat lagi penumpang termasuk dua kanak-kanak disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital untuk rawatan manakala mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Nik Mohd Fakri Md Nawi dengan kekuatan 10 anggota itu menggunakan jentera FRT, Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan FRV Triton, sebelum operasi tamat sepenuhnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu dan berkata kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Gua Musang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial