KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak menyediakan peruntukan khas secara langsung kepada kerajaan negeri atau agensi berkaitan bagi tujuan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan kawasan pembuangan sampah haram di luar kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Timbalan Menteri berkenaan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata menerusi Belanjawan 2025, KPKT telah menerima peruntukan sebanyak RM1.54 bilion bagi tujuh negeri untuk membiayai operasi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam termasuk kutipan sampah, pembersihan awam, penguatkuasaan dan pembersihan kawasan pembuangan sampah haram.
“KPKT bertanggungjawab menguruskan sisa pepejal dan pembersihan awam bagi tujuh negeri yang menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), iaitu Perlis, Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Bagi negeri-negeri lain, pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, PBT dan agensi bertanggungjawab pada peringkat negeri masing-masing,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) yang ingin tahu sama ada kementerian menyediakan peruntukan khas kepada kerajaan negeri atau agensi berkaitan bagi mengurus sisa pepejal dan membersihkan kawasan pembuangan sampah haram di luar kawasan PBT.
Aiman Athirah berkata Akta 672 turut memperuntukkan kuasa kepada kerajaan Persekutuan untuk mengambil tindakan penguatkuasaan pembuangan sampah haram di semua kawasan PBT berkenaan.
Dalam hal itu, beliau berkata Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah melaksanakan sebanyak 3,036 operasi pembasmian tapak sampah haram pada 2024, manakala 2,030 operasi lagi hingga Jun tahun ini, termasuk tindakan pendakwaan terhadap pihak yang melakukan kesalahan.
“KPKT ingin menegaskan bahawa usaha menjaga kebersihan dan membanteras pembuangan sampah haram tidak boleh dipikul oleh satu pihak sahaja.
“Ia menuntut komitmen bersama semua pihak berkepentingan, termasuk kerajaan negeri, agensi teknikal, PBT dan rakyat keseluruhannya, demi memastikan persekitaran bersih, sihat dan lestari untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial