AM

Reformasi Sistem Pendidikan Tumpuan Perbahasan RMK13 Hari Ini

05/08/2025 08:46 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Reformasi sistem pendidikan negara menjadi tumpuan pada hari kedua sesi perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat apabila rata-rata Ahli Parlimen mencadangkan agar kerajaan menggubal dasar baharu dan memperkukuh struktur pendidikan sedia ada untuk tempoh lima tahun akan datang.

Antara cadangan yang diketengah ialah penggubalan akta khas bagi pendidikan prasekolah bertujuan menyelaraskan sistem pendidikan awal kanak-kanak yang kini dikendali oleh pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Mencadangkan perkara itu, Rodziah Ismail (PH-Ampang) berkata sudah tiba masanya Kementerian Pendidikan (KPM) meneliti semula struktur sedia ada agar pelaksanaan prasekolah dapat diselaras secara sistematik dan menyeluruh di bawah satu kerangka undang-undang.

“Kita ada agensi lain yang melaksanakan pendidikan prasekolah seperti KEMAS (Jabatan Kemajuan Masyarakat), ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) dan banyak lagi yang kadang-kadang NGO ini didaftarkan tanpa kawalan,” katanya. 

Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) pula mencadangkan agar kerajaan mengembalikan sistem peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) supaya pelajar mempunyai hala tuju dan matlamat yang jelas.

Beliau berkata ketiadaan sistem pentaksiran itu didakwa menyebabkan pelajar hilang arah dan motivasi malah ibu bapa serta guru kini sukar menilai tahap pencapaian mereka.

Ahli Parlimen lain yang turut membangkitkan isu sektor pendidikan ialah Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh), Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) dan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading).

Isu sama mendapat perhatian Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak antaranya Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) yang menekankan keperluan merapatkan jurang pendidikan antara wilayah termasuk cadangan membina lebih banyak sekolah berasrama penuh serta kolej vokasional di luar bandar.

Mengambil contoh di Sri Aman, Doris Sophia berkata kawasan itu masih belum memiliki sekolah berasrama penuh dan yang penting, memberi peluang setara kepada pelajar luar bandar untuk bersaing dengan pelajar di kawasan lain. 

Isu keselamatan pelajar turut mendapat perhatian khususnya dalam konteks buli di sekolah berasrama penuh.

Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) menggesa KPM mengambil pendekatan baharu dalam menangani isu buli yang semakin berleluasa di sekolah terutama sekolah berasrama.

Beliau berkata insiden buli bukan sahaja membimbangkan kerana melibatkan keselamatan pelajar malah menyebabkan ramai ibu bapa berasa trauma dan takut untuk menghantar anak mereka ke sekolah berasrama.

“Sama ada sekolah agama, vokasional atau kebangsaan, masalah (buli) masih ada (sedangkan) mereka datang untuk mendapat ilmu pengajaran tetapi di sekolah, anak mereka dibunuh.

“KPM perlu melihat pendekatan baharu bagaimana mengatasi masalah ini , sehingga hari ini kalau di Sabah, banyak ibu bapa sudah fobia tidak mahu hantar anak-anak mereka ke sekolah berasrama,” katanya. 

Ahli-Ahli Parlimen termasuk Datuk Verdon Bahanda (Bebas-Kudat) dan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) turut mengambil peluang menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir yang meninggal dunia pada 16 Julai lepas, yang dikaitkan dengan gejala buli. 

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan