PUTRAJAYA, 21 Julai (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) perlu memperkukuh penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam perkhidmatan bagi meningkatkan mutu penyampaian kepada rakyat serta kecekapan operasi jabatan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata integrasi teknologi AI dalam JIM secara tidak langsung membolehkan produktiviti serta kutipan hasil kepada negara dipertingkatkan.
“Sebelum ini, JIM tidak mengguna pakai AI tetapi sekarang JIM telah guna pakai AI dan hukumnya apa? Yang pertama, produktiviti mesti meningkat.
“Kedua, sistem penyampaian lebih pantas dan ketiga, kalau ia terkait dengan kutipan hasil, kutipan hasil juga meningkat. Ini antara kayu ukur yang kena disukat apabila kita kata sekarang mengguna pakai AI,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Imigresen ke-103 bertemakan ‘AI menerajui reformasi Imigresen’ di sini hari ini.
Sementara itu, Saifuddin Nasution mencadangkan supaya JIM menghantar pegawai dan anggota mengikuti kursus atau program khas AI di universiti tempatan bagi tempoh tertentu.
“Beri mereka pelepasan untuk satu atau dua minggu dan perkenalkan dengan pengetahuan tentang AI.
“Asah kemahiran untuk menggunakan peralatan AI yang sedang berkembang dengan pantas saban hari. Saya bagi contoh antara syarikat terkemuka dunia menggunakan teknologi AI ini ialah syarikat Alibaba dari China,” katanya.
Beliau berkata JIM juga perlu terus melaksanakan pendekatan dan penambahbaikan dalam perkhidmatan berasaskan rakyat selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Pendekatan kita mesti berasaskan rakyat, kerana itu kalau perlu, kita laksanakan penambahbaikan terhadap prosedur dan permudahkan.
“Kalau kita perlu menambah baik sistem, laksanakanlah kerana kita tetap kekal sebagai barisan hadapan dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat terbanyak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata JIM perlu memperkukuh komitmen terhadap integriti dengan melaksanakan dasar toleransi sifar terhadap sebarang bentuk rasuah dan salah laku.
“Saya berharap JIM dapat berikan komitmen sepenuhnya dalam aspek integriti kerana ini menjadi tunjang utama perkhidmatan.
“Bila mana wujud pelaporan salah laku, tindakan mesti pantas dan kukuhkan budaya kerja beretika dalam kalangan keluarga besar JIM,” katanya menambah, kolaborasi bersama polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia boleh dilaksana untuk tingkat integriti.
Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial