AM

Plaza Tol Ayer Hitam Dibuka Semula Sepenuhnya - PLUS

26/06/2025 12:05 PM

BATU PAHAT, 26 Jun (Bernama) -- Laluan keluar masuk Plaza Tol Ayer Hitam dekat sini, dibuka sepenuhnya selepas ditutup sementara susulan kejadian sebuah tong mengandungi bahan kimia berbahaya dan menghakis terjatuh dari sebuah treler petang semalam.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan bahawa laluan berkenaan mula dibuka dan boleh digunakan oleh semua kenderaan bermula pukul 2.44 pagi tadi.

“Status terkini menunjukkan insiden telah selesai dan semua laluan dibuka semula. Laluan masuk ke Plaza Tol Ayer Hitam telah dibuka. Trafik terkawal. Harap maklum,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, PLUS dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan laluan itu ditutup sementara atas faktor keselamatan oleh pihak bomba selepas kejadian dilaporkan berlaku pada 6.41 petang.

Sementara itu, melalui tinjauan Bernama di lokasi kejadian pada pukul 9 pagi mendapati laluan keluar masuk di Plaza Tol Ayer Hitam lancar dan operasi berjalan seperti biasa.

Dalam pada itu, Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Syakir Jamal berkata kejadian itu melibatkan sebuah lori kontena seberat 40 tan yang membawa bahan kimia jenis urea formaldehid.

Menurutnya, ketika melalui selekoh berhampiran plaza tol tersebut, tiga daripada tong yang dibawa terjatuh ke atas jalan, dan satu daripadanya yang berkapasiti 1,000 liter pecah dan menyebabkan tumpahan.

“Tindakan awal yang diambil adalah mengambus tumpahan menggunakan tanah sementara menunggu ketibaan pasukan Hazmat dari BBP Larkin.

“Kerja-kerja pengesanan (detection) oleh pasukan Hazmat dilakukan menggunakan PH meter, kertas PH, GFG dan Gasmet, selain tindakan mengandungi tumpahan dengan tanah supaya tidak merebak serta mengalihkan bahan kimia ke lokasi yang selamat,” katanya.

Beliau berkata sekitar pukul 2 pagi tadi, kerja-kerja pemindahan bahan kimia dilakukan oleh pemilik kontena, sebelum pasukan Hazmat menyerahkan kes tersebut kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan