AM

Malaysia, EU Perkukuh Kerjasama Reformasi Penjara - Saifuddin Nasution

24/06/2025 03:47 PM

PUTRAJAYA, 24 Jun (Bernama) -- Kerjasama Malaysia dengan Kesatuan Eropah (EU) dan negara-negara anggota melambangkan satu lagi langkah penting dalam usaha memperkukuh reformasi penjara melalui kerjasama antarabangsa, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin Nasution berkata inisiatif yang berteraskan pembelajaran dan pertukaran teknikal itu juga mencerminkan komitmen Malaysia terhadap sistem keadilan yang menumpukan kepada pemulihan dan bukan hukuman semata-mata. 

"Pengalaman luas EU dalam pendekatan pemulihan yang moden dan reka bentuk penjara yang menitikberatkan nilai kemanusiaan menjadi sumber rujukan kita dalam usaha tambah baik sistem sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas merasmikan mesyuarat penyelarasan antara agensi mengenai perancangan dan reka bentuk pusat pemulihan berlandaskan nilai kemanusiaan.  

Saifuddin Nasution berkata kolaborasi itu juga bertepatan dengan keperluan semasa dan memperlihatkan bahawa keselamatan serta keamanan boleh saling melengkapi tanpa mengabaikan maruah dan hak asasi.

Beliau berkata inisiatif itu juga bertujuan sebagai sumber rujukan kepada negara-negara serantau dalam memperjuangkan keadilan berteraskan pendekatan hak asasi manusia.

"Apabila kita bercakap mengenai reformasi penjara, ia bukan sekadar merujuk kepada infrastruktur. Kita juga berbicara mengenai usaha memulihkan maruah dan tujuan hidup serta membina semula kehidupan.

"Keadilan yang sebenarnya apabila ia adil, saksama dan berperikemanusiaan. Malaysia komited kepada sistem pemulihan yang mencerminkan nilai-nilai Malaysia MADANI, iaitu belas ihsan, keadilan dan pemerkasaan," katanya.

Mesyuarat tiga hari anjuran bersama oleh Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Penjara Malaysia, dan Delegasi EU ke Malaysia itu menyediakan platform untuk pertukaran kepakaran teknikal, perbincangan mengenai model pemulihan progresif, serta prinsip reka bentuk yang lebih berperikemanusiaan, berasaskan bukti dan berpaksikan komuniti.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan