AM

PM Anwar Umum Peruntukan Beberapa Projek Demi Kesejahteraan Warga TLDM Lumut

15/06/2025 04:15 PM

LUMUT, 15 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan untuk beberapa projek di Pangkalan Tentera Laut Malaysia (TLDM) Lumut yang diluluskan tahun ini, demi kesejahteraan warga pasukan keselamatan.

Beliau berkata sebanyak RM65 juta diperuntukkan bagi pembinaan sebuah kompleks klinik pakar dan naik taraf Hospital Angkatan Tentera (ATM), di pangkalan itu.

Turut diluluskan ialah projek naik taraf sistem agihan bekalan voltan tinggi (33kV) dengan peruntukan RM100 juta, penggantian tangki operasi Bulk Fuel Installation (BFI) dengan peruntukan RM23.3 juta dan naik taraf jeti operasi Tambatan Pangkalan Lumut dengan peruntukan RM66.5 juta.

“Yang ini (kompleks klinik pakar dan menaik taraf Hospital ATM Lumut) saya minta Setiausaha Kerajaan Negeri yang ada di sini, supaya segera dilaksanakan. Peruntukan telah kita luluskan, juga tambah baik lain yang kita buat untuk kesejahteraan warga TLDM,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian pada Program Kenduri Rakyat Menyantuni Warga TLDM Lumut sempena Program MADANI Rakyat 2025 Perak, di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Panglima Tentera Laut Datuk Zulhelmy Ithnain.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sebelum ini, sejumlah projek penyelenggaraan berjaya dilaksanakan di TLDM Lumut, antaranya sistem perpaipan bekalan air tawar; pembinaan Pusat Anak Permata Negara (PAPN); pembaikan cerun di Bukit Perwira; pemasangan sistem perlindungan kilat di Depot Peluru dan Bahan Letupan; pembaikan menyeluruh Rumah Keluarga A33, A37, A16 dan A22; serta Pengerukan Jeti Operasi.

“Menurut Komandan, peningkatan sistem perpaipan bekalan air tawar ini belum siap sepenuhnya, dan naik taraf beberapa rumah juga ada kelewatan, yang lain semua telah siap, ini perkembangan baik,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata Program Ekonomi MADANI di Pangkalan TLDM Lumut menerima peruntukan sebanyak RM65,000 bagi projek pertanian bandar cendawan dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan RM50,000 untuk projek ternakan madu kelulut dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

“Kita ada juga Work-Based Learning (WBL) iaitu inisiatif pengiktirafan pengalaman ATM dengan kelayakan bertaraf sekurang-kurangnya diploma.

“Untuk diploma, kita beri ruang kepada anak-anak kita untuk meningkatkan pendidikan selain daripada latihan khusus dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan digital, kita sediakan beratus juta ringgit untuk latihan,” kata beliau.

Dalam pada itu, Anwar berkata peruntukan khas turut diluluskan untuk menaik taraf 34 sekolah di kem-kem keselamatan dan pangkalan tentera, termasuk tandas dan makmal bagi memberi keselesaan kepada anak-anak anggota.

“Kita telah putuskan untuk kem-kem sahaja RM20 juta (peruntukan), saya tidak mahu anak-anak kita di kem, bapaknya bertarung nyawa di laut berminggu-minggu, berbulan-bulan ataupun pesawat udara, maka (anak) mereka perlukan tempat selesa untuk belajar,” kata Perdana Menteri.

Pada majlis sama, Anwar turut menyampaikan sumbangan daripada Pejabat Perdana Menteri kepada 98 orang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2024, yang terdiri daripada anak-anak warga TLDM.

Lebih 1,500 warga TLDM dan tetamu menghadiri majlis tersebut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan