TAIPING, 13 Jun (Bernama) -- Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini meluangkan masa melawat penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Isnin lepas.
Beliau yang tiba kira-kira 10.25 pagi disambut isteri Menteri Besar Perak Datin Seri Aezer Zubin serta Pengarah Hospital Taiping Dr Khuzaini Abd Karim.
Dr Wan Azizah dibawa ke wad untuk melawat empat mangsa terdiri daripada tiga penuntut wanita dan seorang lelaki yang masih menerima rawatan di hospital berkenaan.
Beliau meluangkan masa kira-kira sejam bertanyakan keadaan mangsa selain turut memberi sokongan kepada ahli keluarga yang berada di wad tersebut.
Dr Wan Azizah turut menyampaikan sumbangan peribadi daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada keempat-empat mangsa.
Dalam kejadian Isnin lepas, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang mereka naiki dari Jertih, Terengganu ke kampus utama di Tanjung Malim, Perak terbalik selepas terlibat dalam pelanggaran dengan kereta Perodua Alza di laluan JRTB.
Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 individu cedera, termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial