PUTRAJAYA, 12 Jun (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) giat merangka pelbagai strategi bagi memastikan tanaman dan ternakan negara tidak terjejas akibat cuaca panas serta perubahan iklim yang semakin ketara.
Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata perubahan cuaca kini berlaku secara lebih kerap dan tidak menentu sekali gus menuntut pelaksanaan pelbagai pendekatan baharu yang lebih menyeluruh.
“Perubahan cuaca sentiasa berlaku sekarang ini dan sebab itu kementerian memikirkan pelbagai cara bagi menjamin keterjaminan makanan negara.
“Begitu juga tentang pergantungan sesuatu hasil, sekarang kita tak boleh bergantung kepada satu-satu tempat … misalnya beras, untuk jangka panjang kita mesti juga bergantung pada Sabah dan Sarawak kerana iklimnya agak berlainan jika dibandingkan dengan Semenanjung," katanya.
Bercakap kepada pemberita pada Majlis Pra-Pelancaran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2025 di sini hari ini, Mohamad berkata kepelbagaian lokasi pengeluaran hasil pertanian adalah penting dalam jangka masa panjang untuk mengurangkan risiko akibat cuaca yang tidak menentu.
Beliau berkata pihaknya sentiasa memantau perkembangan keadaan iklim semasa dan menyesuaikan jenis tanaman dan jadual kutipan hasil.
Ditanya mengenai langkah khusus yang diambil bagi melindungi ternakan dan tanaman ketika Monsun Barat Daya yang dijangka berlarutan hingga September ini, Mohamad berkata KPKM memberi fokus kepada usaha menghadapi dan menghindari penyakit.
“Tetapi, kalau ia di luar kawalan seperti ternakan babi di Sepang dan di Kuala Langat, penyakit itu boleh merebak dengan begitu cepat. Maka kita mengambil tindakan membuat pemusnahan.
“Langkah ini sentiasa dipantau dari semasa ke semasa. Buat masa ini, ayam dan telur tidak hadapi masalah serangan penyakit yang besar pada tahun ini,” katanya.
Sepanjang musim Monsun Barat Daya, kadar kelembapan udara lazimnya rendah sekali gus menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan di kebanyakan tempat dan mengakibatkan cuaca panas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial