GUA MUSANG, 12 Jun (Bernama) -- Seramai 14 penduduk Orang Asli daripada dua keluarga di Kampung Kuala Wook di sini, berdepan risiko keselamatan selepas tebing di sekitar kediaman mereka terhakis sejak lebih dua minggu lepas yang mungkin boleh mengakibatkan tanah runtuh.
Penduduk suku Temiar, Hairi Pandak, 29, berkata hakisan tanah bermula pada 24 Mei lepas susulan hujan lebat berterusan, menyebabkan paras air sungai meningkat dan arus deras.
“Kira-kira 8 malam, saya perasan tebing berhampiran rumah mula terhakis dan sebahagiannya runtuh. Beberapa pokok pisang dan ubi kayu yang ditanam turut rosak,” katanya kepada pemberita di Kampung Kuala Wook di sini hari ini.
Seorang lagi penduduk, Salmah Awang, 55, berkata hakisan tanah semakin membimbangkan kerana struktur tanah di tepi rumah yang didiami lebih 10 tahun itu terjejas akibat arus sungai yang deras.
“Arus deras pada bulan lepas menghakis tanah di bawah bilik air yang terletak di luar rumah. Saya bimbang bilik air itu mungkin runtuh,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata beliau bersama wakil Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah melawat kawasan terjejas.
Beliau berkata walaupun hanya dua keluarga yang terkesan secara langsung ketika ini, namun masalah itu turut mencetus kebimbangan kepada lebih 300 penduduk yang lain.
“Kerja baik pulih tebing perlu dilaksanakan segera kerana kita menjangkakan taburan hujan meningkat menjelang Ogos dan September,” katanya.
Beliau berkata pihaknya telah menerima maklum balas positif daripada JAKOA dan kerja-kerja pembaikan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial