AM

Harsheetaa Meninggal Dunia Akibat Kegagalan Organ, Sepsis - Bapa

10/06/2025 09:29 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, S. Harsheetaa Sai yang menjalani pembedahan jantung di Amerika Syarikat meninggal dunia pada semalam akibat kegagalan  organ dan sepsis.

Berita pemergian kanak-kanak itu disahkan oleh bapanya R. Selva Ganapathy yang mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Saraswathy di Sungai Buloh.

Harsheetaa yang belajar di sekolah tempat ibu bapanya mengajar, menghidap penyakit heterotaxy sejak lahir dan menjalani rawatan di Hospital Kanak-kanak Boston, di Massachusetts, sejak April lepas.

"Kesedihan kami sukar untuk diungkapkan. Harsheetaa, puteri kami yang cekal berjuang melawan penyakitnya menghembuskan nafas terakhir pada 1.10 pagi semalam di Hospital Kanak-kanak Boston,” kata bapanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi menerusi Instagram mengucapkan takziah kepada waris keluarga kanak-kanak itu. 

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghulurkan bantuan kewangan kepada keluarga Harsheetaa yang disampaikan beliau sendiri semasa mengunjungi rumah mereka di Batu Caves, Selangor, pada 20 Mac.

Heterotaxy, gangguan kongenital yang jarang berlaku apabila organ dalaman berada pada kedudukan tidak normal dan lazimnya akan menjejaskan fungsi jantung, paru-paru, hati, limpa, dan usus.

Sebelum ini, Selva Ganapathy merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang menyumbang untuk membantu membiayai pembedahan jantung anaknya. 

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan