AM

Keputusan Tengku Zafrul Keluar UMNO Tidak Jejas Usaha Perkukuh Ekonomi Negara - Ahmad Zahid

10/06/2025 08:02 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Keputusan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz meninggalkan UMNO tidak akan menjejaskan usaha kerajaan dalam mengukuhkan ekonomi negara serta memperkasa sektor perdagangan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pegangan politik seseorang itu tidak seharusnya dicampur aduk dengan pengendalian dan pengurusan organisasi apatah lagi melibatkan pentadbiran sebuah negara.

“Kita ada had sempadan yang jelas (antara politik dan pentadbiran), kita profesional, dalam prinsip ini saya memilih untuk santuni perbezaan pandangan itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Wanita dalam Eksport 2025 di Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di sini hari ini.

Hadir sama Tengku Zafrul, Pengerusi Matrade Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Pengerusi Pertubuhan Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia (Hawa) Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditanya mengenai impak keputusan peletakan jawatan Tengku Zafrul selaku ahli Majlis Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO terhadap pentadbiran negara serta pelaksanaan dasar kerajaan.

Mengenai hubungan peribadi beliau dengan Tengku Zafrul, Ahmad Zahid berkata semuanya dalam keadaan baik.

Tengku Zafrul menerusi kenyataan pada 30 Mei lepas memaklumkan telah menghantar surat peletakan jawatan beliau dalam UMNO kepada pimpinan parti itu. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan