NIBONG TEBAL, 10 Jun (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) masih menunggu laporan penuh berkenaan kejadian kebakaran di Sekolah Menengah (SM) Sains Alam Shah di Cheras, pagi ini.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata KPM telah mengarahkan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Dr Aminuddin Hassim untuk menilai tahap kerosakan dan menyalurkan bantuan yang diperlukan dengan segera.
"Bantuan ini perlu bagi memastikan sesi persekolahan dan pembelajaran dapat dijalankan dalam suasana yang baik serta lebih kondusif kepada pelajar dan guru," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Pelajar Program Pendidikan Tingkatan Enam Kampus Universiti Sains Malaysia (USM) di Kampus Kejuruteraan USM di sini hari ini.
Beliau berkata KPM berduka cita dengan kejadian kebakaran itu dan bersyukur tiada kemalangan jiwa, namun keselamatan dan kebajikan guru serta pelajar sentiasa diberi keutamaan.
Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur memaklumkan bangunan pentadbiran Sekolah Menengah (SM) Sains Alam Shah di Cheras musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Sementara itu, Fadhlina berkata KPM sentiasa berusaha untuk menangani isu duka lara guru yang terpaksa berjauhan dengan pasangan masing-masing akibat perbezaan tempat bertugas.
Beliau berkata terkini KPM memutuskan guru boleh memohon pertukaran selepas berkhidmat selama dua tahun tanpa sebarang syarat, berbanding sebelum ini memerlukan guru menunggu sekurang-kurangnya berkhidmat tiga tahun dengan syarat tertentu.
"Namun, kita juga kena ambil perhatian berkaitan dengan isu-isu yang tidak boleh menjejaskan ekosistem pendidikan, seperti melihat kepada kekosongan jawatan di tempat berkenaan.
"Keutamaan kita dalam menyusun keperluan pendidikan serta proses pertukaran guru ini di samping alasan lain ialah isu kesihatan dan isu keselamatan. Kita akan uruskan sebaiknya dan diminta cikgu-cikgu bersabar," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial