KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Guardian Malaysia telah dinobat sebagai Peruncit Kesihatan dan Kecantikan Terbaik (Malaysia) pada Anugerah Peruncit Asia 2025 sekali gus menjadi pencapaian tertinggi syarikat itu sejak kehadirannya hampir enam dekad di negara ini.
Guardian Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan kemenangan sulung itu, yang disifatkan sebagai detik kemuncak pengiktirafan tertinggi dalam kalangan peruncit kesihatan dan kecantikan dari Malaysia di peringkat serantau, telah diumumkan di Singapura pada majlis yang berlangsung 4 Jun lepas.
Selain itu, Guardian Malaysia turut merangkul dua lagi anugerah berprestij iaitu Inisiatif Kesihatan dan Kesejahteraan Terbaik (Malaysia) dan Inovasi Rantaian Bekalan Terbaik (Malaysia) sekali gus memperkukuh pendekatan syarikat berkenaan yang berteraskan keperluan pelanggan dalam semua inisiatif inovasi.
“Pasukan kami di semua peringkat telah menggandakan usaha sepanjang tahun lalu untuk memberikan imej yang lebih segar, pilihan produk dan perkhidmatan lebih baik serta pengalaman membeli-belah yang lebih memuaskan kepada pelanggan,” kata Pengarah Urusan Guardian Malaysia Priscilla Wu.
Wu berkata kejayaan Guardian Malaysia adalah disebabkan oleh interaksi yang giat dengan para pelanggannya melalui pelancaran kempen Own Your Beautiful, hinggalah inisiatif kesejahteraan Get.Set.Glow! yang memenangi anugerah, kempen #IYKYK yang menampilkan jenama terkini dan terhangat di stor serta program #LoveFot Local.
“Semuanya adalah tentang pelanggan kami. Kami ingin mereka rasa dihargai, kami ingin mereka belajar dan berkembang, kami ingin mereka terlibat secara aktif dan kami ingin mereka datang kepada kami untuk semua keperluan kesihatan dan kecantikan mereka. Kami benar-benar ingin berjaya bersama pelanggan kami!” katanya.
Anugerah Peruncit Asia merupakan acara tahunan berprestij yang mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada pencapaian cemerlang, inovasi serta kecemerlangan dalam industri peruncitan di seluruh rantau Asia Pasifik.
Ditubuhkan 58 tahun lepas sebagai sebuah kedai runcit farmaseutikal, Guardian Malaysia kini mengendalikan lebih 550 stor di seluruh negara yang menyediakan perkhidmatan kepada lebih 33 juta pelanggan setiap tahun.
Syarikat itu turut mencipta kejayaan besar apabila membawa pulang tujuh anugerah di Employee Experience Awards 2025 sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai sebuah tempat kerja yang unggul untuk berkembang dan membina kerjaya.
“Walaupun kami mungkin bukan pemain terbesar di pasaran, kami percaya bahawa setiap rakyat Malaysia berhak mendapat pilihan yang bermakna. Dengan kemenangan ini, kami komited untuk terus memberikan pilihan terbaik, penjagaan terbaik dan nilai terbaik untuk anda dan orang tersayang,” kata Wu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial