AM

Media, Komuniti Perlis Terima Sumbangan Korban PM Anwar

09/06/2025 04:47 PM

KANGAR, 9 Jun (Bernama) -- Seramai 100 pengamal media dan penduduk setempat di Perlis disantuni menerusi agihan daging korban sempena sambutan Aidiladha hasil sumbangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden Persatuan Wartawan Perlis (PWP) Syed Azlan Syed Hizar, berkata sumbangan ibadah korban yang disalurkan melalui Pejabat Perdana Menteri itu bertujuan mempererat hubungan silaturahim antara warga media dan masyarakat setempat, khususnya di kawasan Chuping dan Padang Besar.

“Program ini merupakan tanda penghargaan kepada pengamal media di negeri ini yang sentiasa komited dalam menyampaikan maklumat tepat dan berintegriti kepada rakyat,” katanya ketika ditemui selepas program ibadah korban berkenaan di Kampung Bilal Uduh, Chuping, hari ini.

Menurut beliau, pelaksanaan program berkenaan diselaraskan oleh Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) dan diagihkan ke beberapa negeri termasuk Wilayah Persekutuan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Perlis melalui kelab media masing-masing.

Katanya seekor lembu telah disembelih sempena program berkenaan yang julung kali dianjurkan oleh PWP dengan kerjasama penduduk Kampung Bilal Uduh.

“Melalui program ini, ahli PWP berpeluang menyantuni golongan kurang berkemampuan dan asnaf, di samping mengukuhkan hubungan dengan komuniti. Diharapkan inisiatif sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan