KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkongsi pengalaman menaiki pesawat dari Johor ke Kuala Lumpur yang terpaksa dilencongkan ke Pulau Pinang akibat cuaca buruk, menjadikan tempoh penerbangan yang sepatutnya 50 minit bertukar hampir empat jam.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau memuji profesionalisme dan sokongan ditunjukkan semua kru penerbangan sepanjang situasi berkenaan.
Loke berkata beliau menaiki pesawat AirAsia AK6047 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pada 10.45 malam, selepas menghadiri majlis makan malam kutipan dana DAP Johor di Johor Bahru.
“Penerbangan berjalan lancar sehingga hampir mendarat, namun angin lintang dan ribut kencang ketika menghampiri landasan menyebabkan juruterbang terpaksa membatalkan pendaratan dan berpusing di ruang udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Susulan itu, Kapten Teng Huah Jer memutuskan untuk mengalihkan pesawat ke Pulau Pinang bagi mengisi minyak sementara menunggu cuaca kembali baik untuk mendarat dengan selamat di KLIA,” katanya.
Loke berkata keadaan cuaca yang tidak dijangka merupakan antara cabaran terbesar dalam operasi syarikat penerbangan, dan beliau dimaklumkan sekurang-kurangnya lima pesawat AirAsia turut dilencongkan, selain kemungkinan melibatkan penerbangan lain.
Beliau turut memuji sikap tenang kapten serta komunikasi yang berkesan dan konsisten dalam menyampaikan maklumat, yang menurutnya memainkan peranan penting memastikan penumpang kekal tenang.
“Saya juga ingin memuji semua kru penerbangan yang terus memberikan bantuan tanpa mengenal penat. Sepanjang situasi tersebut, mereka kekal tenang, bersikap belas kasihan dan profesional dalam membantu penumpang dengan penuh empati.
“Walaupun bekerja lebih masa, kru penerbangan tetap tersenyum, bersikap mesra dan memohon maaf kepada setiap penumpang atas segala kesulitan,” katanya.
Loke merakamkan penghargaan kepada Kapten Teng dan Pembantu Pertama Bryan Alexander Yin Kian Yam, serta kru kabin diketuai Muhammad Asyraf Muhammad Nasrullah yang turut disertai Mandasari Nikita Florensia, Bagus Setyadi Nugroho dan Norjuniza Muhammad atas dedikasi mereka.
Beliau turut berterima kasih kepada petugas darat, pengawal trafik udara dan pasukan sokongan dari Senai, Pulau Pinang hingga ke KLIA atas tindakan pantas dan koordinasi mereka yang memastikan semua penumpang selamat tiba ke destinasi.
“Kami selamat mendarat pada 2.40 pagi, hampir empat jam selepas berlepas dari Senai. Sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada kru penerbangan, saya menunggu sehingga semua penumpang keluar sebelum meninggalkan pesawat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial