AM

Pemberhentian Petugas Petronas Banyak Babit Pekerja Kontrak - PM Anwar

06/06/2025 03:31 PM

PUTRAJAYA, 6 Jun (Bernama) -- Pemberhentian petugas Petroliam Nasional Bhd (Petronas) kebanyakannya melibatkan tenaga kerja kontrak, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ia banyak yang kontrak,” kata beliau secara ringkas ketika diminta mengulas laporan Petronas akan memberhentikan kira-kira 5,000 tenaga kerjanya sebagai langkah penstrukturan semula.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat bersama lebih 500 jemaah di Surau Al-Ikhwan, Jalan Pinggiran Putra dekat sini hari ini. 

Turut hadir Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Semalam, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tengku Tan Sri Muhammad Taufik Tengku Aziz dilaporkan berkata Petronas akan memberhentikan kira-kira 10 peratus tenaga kerjanya dalam proses penstrukturan semula syarikat minyak dan gas nasional itu. 

Tengku Muhammad Taufik turut menafikan bahawa syarikat milik negara itu akan keluar daripada perniagaannya di Kanada.

Petronas sebelum ini dilaporkan berkata ia perlu 'menyesuaikan saiz' tenaga kerjanya bagi memastikan kelangsungan syarikat dalam beberapa dekad akan datang.

Petronas mempunyai hampir 50,000 pekerja, menurut laman sesawangnya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan