Oleh Puti Iylia Maisarah Zol Azman
KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Merangkak dalam semak, celahan pokok berduri dan ladang jagung serta menyeberangi sungai yang menjadi habitat buaya, semua itu terpaksa digagahi ‘srikandi lensa’ demi merakam markas sindiket pemerdagangan manusia di sempadan Thailand-Myanmar.
Fathin Suhaira Abd Rahim, 33, yang bertugas sebagai jurufoto Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berkata pengalaman itu dikutip pada 2023 semasa menyertai misi menyelamatkan warga Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan di KK Garden, yang turut dikenali sebagai Garden of Hell.
Beliau yang menyertai Bernama sejak 2017 berkata kerjaya sebagai jurufoto bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi dalam bidang yang sering didominasi kaum lelaki, namun menyifatkan ia sebagai peluang dan ruang untuk mengasah potensi diri.
“Minat saya terhadap bidang jurugambar sudah terbit sejak kecil lagi. Setiap kali menonton berita di televisyen, saya selalu tertanya-tanya bagaimana di sebalik tabir sesuatu berita itu. Daripada situ, minat saya mula berkembang,” katanya baru-baru ini.
Anak kelahiran Kedah itu bukan sekadar membidik kamera sebagai ‘mata kedua’, sebaliknya menyampaikan isu dan kebenaran melalui visual yang menyentuh jiwa masyarakat.
Bersama kamera Canon R3 seberat lima kilogram yang sentiasa melekat di badan dalam memburu detik-detik terbaik di medan liputan, Fathin Suhaira membuktikan wanita juga mampu mendominasi dunia fotografi.
Mengenai stereotaip yang sering terkait dengan tugas jurufoto, beliau berkata kerjaya itu bukan sekadar ‘kerja’ tetapi suara keberanian yang menyampaikan mesej, memperjuangkan isu, mengabdikan kebenaran dan membawa suara yang kurang diwakili dalam masyarakat.
“Ubah persepsi jumud kerjaya ini bukan untuk wanita dan jangan memandang rendah bidang ini, penat bila dengar ‘ala fotografer saja, kerja petik-petik gambar, mudah’. Tidak! Tiada bidang yang wujud untuk menjadi sia-sia, kita yang mencorak sesuatu bidang itu dan ada sebabnya.
“Dari segi keselamatan, jurugambar wanita tidak terlepas daripada pelbagai bentuk gangguan termasuk gangguan seksual dan buli, lebih-lebih lagi apabila lokasi tidak bersifat mesra wanita, menjadikan tugasan kami lebih mencabar,” katanya.
Fathin Suhaira, yang kerap membuat liputan di luar negara berkata kehadiran mereka bukan sekadar melengkapkan tugasan, tetapi turut memainkan peranan dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat melalui kuasa visual yang dirakam.
Sementara itu, ketika jutaan jemaah dari seluruh dunia berkumpul menyempurnakan rukun Islam kelima di Tanah Suci, seorang jurukamera wanita tekun merakam setiap detik bersejarah demi menyampaikan kisah pengorbanan, keinsafan dan semangat umat Islam.
Bagi Norliza Mohd Salleh, 48, yang berpengalaman hampir dua dekad dalam dunia kewartawanan penyiaran di TV3, membuat liputan haji pada 2019 disifatkan antara yang mencabar, namun paling bermakna sepanjang kerjayanya.
“Saya terkejut dan sangat bersyukur apabila diberitahu akan buat liputan haji. Ingatkan belum giliran saya lagi kerana ada ramai jurukamera yang lebih senior,” katanya yang mengakui persiapan dari segi fizikal dan mental sangat perlu sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Beliau berkata membuat liputan di Makkah bukanlah perkara mudah berikutan kekangan lokasi dan peraturan ketat di sekitar Masjidil Haram, termasuk larangan penggunaan kamera profesional di kawasan utama seperti hadapan Kaabah yang memaksa jurukamera merakam visual penting menggunakan telefon bimbit.
Berkongsi cabaran lain, Norliza berkata beliau terpaksa berhujan ketika bermalam di Mina, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus memberikan yang terbaik dalam setiap rakaman.
Sehubungan itu, bagi meraikan peranan dan sumbangan pengamal media dalam pembangunan negara, tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional (HAWANA) sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.
Bertemakan ‘Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika’, kemuncak sambutan HAWANA 2025 akan berlangsung pada 14 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan kehadiran kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial