Daripada Syamsiah Sahat
LONDON, 4 Jun (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan lawatan empat harinya ke United Kingdom (UK) yang berakhir hari ini sebagai jambatan memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-UK dalam pelbagai bidang antaranya pendidikan, ekonomi dan pelancongan.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata lawatan yang diisi dengan perbincangan dan pelbagai program itu berlainan daripada lawatan sebelum ini kerana beliau berpeluang menyaksikan sendiri komitmen pelajar tajaan Majlis Amanah Raya (MARA) di University College London (UCL) menuntut ilmu semasa sesi pertemuan dengan mereka.
“…kita lihat komitmen mereka bukan sekadar untuk memperolehi ilmu tetapi untuk bergerak sebagai pemangkin kepada generasi Z dan generasi Alfa, apabila mereka datang ke sini dan menerima ilmu kemudian balik ke Malaysia, mereka akan menyumbang bukan hanya kepada profesion mereka tetapi kepada bidang-bidang yang lain untuk memberikan motivasi terutamanya kepada generasi Alfa atau generasi milenium,” katanya pada sidang media di sini, pada Selasa.
Selain itu, Ahmad Zahid turut berkongsi mengenai Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia yang mendapat sambutan memberangsangkan daripada universiti itu dan pelajar yang teruja dengan pengubah keadaan (game changer) yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia.
“…kita tahu bahawa hasrat untuk mewujudkan 60,000 peluang pekerjaan jurutera bagi bidang teknologi tinggi telah disegerakan dan kita meminta supaya latihan untuk pelatih (ToT) dilakukan dengan segera,” katanya.
Selain TVET, lawatan tersebut turut meningkatkan kerjasama pembangunan luar bandar dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan ketahanan iklim menerusi pertemuan Ahmad Zahid dengan Menteri Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar UK Steve Reed.
Pertemuan berkenaan turut menyentuh mengenai kerjasama dalam transformasi luar bandar, pengurusan bencana, keselamatan air serta pelaburan dalam tenaga hijau termasuk pengaktifan semula Grid Kuasa ASEAN.
Semasa lawatan itu, Malaysia turut mencadangkan penggunaan sukuk hijau untuk pembiayaan iklim serta usaha memimpin ekosistem halal global melalui Majlis Halal Dunia dan logo halal seragam.
Kedua-dua negara juga komited memperkukuh hubungan dagangan di bawah Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian-Trans Pasifik (CPTPP) dan kerjasama sektor swasta.
Timbalan Perdana Menteri turut berharap Dialog Perniagaan Francais: Malaysia-UK yang diadakan semasa lawatan itu dapat membantu jenama francais Malaysia menembusi pasaran UK menjelang 2026.
Beliau juga yakin pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) di UK akan memperluas kerjasama dengan penggiat industri di negara itu termasuk syarikat penerbangan bagi menarik lebih ramai pelancong UK ke Malaysia.
Usai lawatan tersebut Ahmad Zahid akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi Kelapan Platform Global Bagi Pengurangan Risiko Bencana (GPDRR) di Geneva pada 4 dan 5 Jun ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial