AM

Menteri Besar, Ketua Menteri Zahir Ucapan Tahniah Sempena Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Agong

02/06/2025 02:46 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) -- Bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini, Menteri Besar dan Ketua Menteri mengambil kesempatan merafak sembah serta merakamkan ucapan tahniah dan doa menerusi platform media sosial masing-masing.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi merafak sembah dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Sultan Ibrahim.

“Sembah takzim daripada patik dan seluruh Bangsa Johor,” katanya.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad mendoakan semoga Yang di-Pertuan Agong kekal qarar memerintah rakyat di negara ini dengan adil dan saksama.

“Patik serta seluruh anggota pentadbiran Kerajaan Negeri Perak mendoakan semoga (Seri Paduka) Baginda Tuanku dan Permaisuri (Raja Zarith Sofiah) serta seluruh kerabat diraja, sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan,” katanya.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun mewakili kerajaan Negeri Sembilan, mendoakan semoga Allah SWT terus melimpahkan keberkatan, kurnia kesihatan, kekuatan dan kebijaksanaan kepada Seri Paduka Baginda dalam memayungi rakyat dan negara.

Turut merafak sembah dan tahniah, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusof yang mendoakan semoga Yang di-Pertuan Agong dianugerahkan kekuatan dan keberkatan, untuk terus kekal bersemayam di atas singgahsana takhta pemerintahan dengan penuh kebesaran, kedaulatan dan kesejahteraan.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan seluruh Kerajaan Negeri Sabah mendoakan agar Seri Paduka Baginda dan seisi keluarga sentiasa dilimpahi keberkatan dan dikurniakan keafiatan yang berterusan.

Ucapan merafak sembah dan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong turut dikongsikan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Semoga Allah SWT terus mengurniakan keafiatan dan kebijaksanaan kepada Tuanku dalam memayungi negara dan rakyat. Daulat Tuanku,” kata Muhammad Sanusi.

Ahmad Samsuri mewakili kerajaan negeri dan seluruh rakyat Terengganu mendoakan semoga Allah SWT memberkati dan merahmati Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, pelbagai kementerian juga tidak ketinggalan merafak sembah dan merakamkan ucapan tahniah sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, menerusi laman sosial.

“Dirgahayu Tuanku. Sembah takzim daripada seluruh warga Kementerian Komunikasi,” menurut hantaran Kementerian Komunikasi di Facebook.

Kementerian Kesihatan menerusi hantaran di Facebook mendoakan semoga Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri serta seluruh kerabat sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT, dilanjutkan usia dan sentiasa berada dalam keadaan sihat selama-lamanya.

Turut merafak sembah ucapan tahniah ialah Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Kewangan, Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Perladangan dan Komoditi.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan