KUANTAN, 1 Jun (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah sempena sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang ke-67.
Al-Sultan Abdullah yang juga Kolonel Yang Dipertua TUDM dan Tunku Azizah turut menzahirkan rasa bangga serta penghargaan kepada warga TUDM, sama ada masih berkhidmat mahupun yang telah bersara atas dedikasi, keberanian dan semangat juang yang tinggi dalam mempertahankan kedaulatan ruang udara negara.
“Penghormatan yang setinggi-tingginya turut dizahirkan kepada perwira TUDM yang telah gugur dalam menjalankan tugas. Jasa dan pengorbanan mereka akan sentiasa dikenang, dan semoga roh mereka dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan para syuhada.
“Sejak penubuhannya pada 1958, TUDM telah melalui pelbagai era pembangunan dan transformasi strategik, keupayaan yang dimiliki hari ini mencerminkan iltizam serta komitmen tinggi setiap anggota dalam memastikan keselamatan ruang udara negara sentiasa terpelihara,” menurut hantaran di laman Facebook Kesultanan Pahang.
Baginda berdua juga berdoa agar TUDM terus maju jaya, diperkasa dengan teknologi serta kemahiran yang relevan, dan sentiasa berada di barisan hadapan dalam mempertahankan tanah air demi kedaulatan dan keamanan negara tercinta ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial