AM

Jadikan Nahas FRU Sebagai Iktibar - TYT Sarawak

31/05/2025 05:59 PM

KUCHING, 31 Mei (Bernama) -- Rakyat Sarawak perlu menjadikan insiden nahas jalan raya yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan di Teluk Intan, Perak pada 13 Mei lepas sebagai iktibar, kata Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Dalam perutusan sempena sambutan Gawai Dayak 2025, beliau berkata tragedi sedemikian seharusnya membuka mata rakyat tentang kepentingan mematuhi aspek keselamatan dan memandu dengan penuh tanggungjawab. 

“Dalam kegembiraan kita menyambut perayaan Hari Gawai Dayak ini, saya dan keluarga ingin mengingatkan seluruh rakyat Sarawak agar sentiasa berhati-hati dan mengutamakan keselamatan ketika dalam perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Dengan adanya jaringan jalan raya yang lebih baik dan selesa termasuk Lebuhraya Pan Borneo (LPB), janganlah kemudahan ini disalahgunakan sebagai litar lumba. Utamakan keselamatan, biarlah lambat asalkan selamat sampai ke destinasi,” katanya. 

Beliau juga berkata Sarawak terus komited melaksanakan pembangunan infrastruktur secara inklusif dengan pembinaan dan penaiktarafan sekolah daif kini giat dilaksanakan terutama di kawasan luar bandar.

Wan Junaidi berkata usaha memperbaiki prasarana asas seperti jalan raya, jambatan, bekalan air bersih dan kemudahan telekomunikasi turut dipergiat.

“Saya difahamkan lebih 200 projek pembinaan semula dan penambahbaikan sekolah daif telah diluluskan di bawah peruntukan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 bagi memastikan kemudahan pembelajaran yang kondusif dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

“Pembinaan 16 jambatan yang dijalankan sekali gus serta LPB dan rangkaian jalan persisir yang kini giat diteruskan adalah bukti nyata komitmen kerajaan dalam merapatkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar,” katanya. 

Beliau berkata pelbagai inisiatif pendidikan turut dilaksanakan bagi meningkatkan kadar literasi dan prestasi akademik termasuk program intervensi awal serta pembukaan pusat bimbingan pembelajaran.

Oleh itu, Wan Junaidi menyeru ibu bapa agar terus memberi penekanan terhadap kepentingan pendidikan bagi membolehkan anak-anak mereka mencapai kejayaan dan membina masa depan yang lebih cerah.

Mengimbau sejarah Hari Gawai Dayak, Wan Junaidi berkata sambutan rasmi sejak 1965 itu bukan sekadar perayaan menuai hasil padi tetapi juga menjadi simbol perpaduan, keharmonian dan semangat muhibah dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak yang perlu terus dipelihara. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan