KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Malaysia giat menyertai usaha membanteras jenayah rentas sempadan dengan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menekankan peranan negara dalam merangka Pelan Tindakan Membanteras Jenayah Rentas Sempadan 2026-2035 dan Program Kerja Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan (SOMTC) 2026-2028.
Shamsul Anuar berkata pelan dan program kerja baharu itu akan menjadi panduan kepada tindak balas ASEAN terhadap jenayah dalam tempoh sedekad akan datang.
“Matlamat kita untuk memastikan pelan ini praktikal dan sedia menghadapi ancaman masa depan termasuk jenayah siber, pemerdagangan orang, penyeludupan migran dan keganasan. Kita juga ingin bekerjasama rapat dengan rakan seperti Rusia dan mengalu-alukan sokongan serta sumbangan mereka.
"Mengenai keselamatan serantau, Malaysia percaya keamanan bergantung kepada kawalan senjata yang kukuh dan pematuhan undang-undang antarabangsa. Kita menyokong dialog dan pembinaan kepercayaan untuk memastikan keselamatan rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Perundingan Perwakilan Tinggi ASEAN-Rusia bagi Isu Keselamatan sempena Mesyuarat Perwakilan Tinggi Antarabangsa Ke-13 Mengenai Hal Ehwal Keselamatan (HROSM ke-13) di Moscow, Rusia.
Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Menteri Luar Persekutuan Rusia S.V. Lavrov.
Shamsul Anuar berkata Malaysia berbangga dengan kemajuan yang dicapai dalam Pelan Tindakan Komprehensif bagi Perkongsian Strategik ASEAN-Rusia 2026-2030, yang diyakininya dapat membantu kedua-dua pihak bekerjasama lebih rapat dalam bidang-bidang penting.
“Kami menyokong Pelan Kerja SOMTC + Rusia (2025-2028) untuk membanteras jenayah rentas sempadan seperti pemerdagangan orang, penyeludupan migran dan jenayah siber. Kami berharap pelan ini dapat dimuktamadkan dan dipersetujui secara rasmi tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata Malaysia menekankan keperluan penyelarasan yang lebih baik serta perkongsian maklumat antara ASEAN dan rakan strategiknya untuk menangani ancaman keselamatan baharu, termasuk keganasan, ancaman siber dan jenayah rentas sempadan lain.
“SOMTC ASEAN ke-25 akan diadakan di Malaysia dari 23 hingga 27 Jun 2025. Kami mengalu-alukan kehadiran semua negara anggota dan rakan kerjasama termasuk Rusia ke Putrajaya. Kami juga akan menjadi tuan rumah kepada Perundingan SOMTC + Rusia ke-17 pada 25 Jun 2025 bagi memperkukuh usaha bersama memerangi jenayah rentas sempadan.
“Malaysia kekal komited sepenuhnya untuk bekerjasama rapat dengan ASEAN dan Rusia demi memastikan kerjasama ini terus kukuh, relevan dan memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial