AM

ACV 2045 Berpotensi Jadikan ASEAN Blok Yang Lebih Dihormati

28/05/2025 10:06 AM

Oleh Vikneswaran Raman

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Visi Komuniti ASEAN (ACV) 2045 yang diterima pakai menerusi  Deklarasi Kuala Lumpur dan dilancarkan bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada Isnin, berpotensi menjadikan blok yang mempunyai hampir 700 juta populasi itu lebih dihormati, terutamanya oleh organisasi barat.

Pakar Geostrategi dan Felow Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Prof Dr Azmi Hassan berkata ACV 2045 berasaskan dua konsep utama, iaitu keneutralan dan kepusatan akan memperkukuh blok ASEAN yang bakal menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030.

“ASEAN menjadi lebih berpusat, terlibat dalam hal-hal antarabangsa dan juga neutral, tidak berpihak kepada Amerika Syarikat (AS), China atau Rusia … kuasa-kuasa besar sekarang sedang bertelagah untuk melebarkan pengaruh mereka, terutama sekali di kawasan Indo-Pasifik.

“Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN kali ini mahu memastikan masyarakat atau penduduk ASEAN itu bangga bahawa mereka adalah sebahagian daripada ASEAN, sepertimana penduduk Kesatuan Eropah (EU). Saya lihat ACV 2045, dalam masa 20 tahun ini, akan tercapai,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Azmi yang juga Felow Majlis Profesor Negara berkata ACV 2045 - kesinambungan ACV 2025 yang dilancarkan ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN sedekad lepas - bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah dalaman seperti konflik Myanmar dan Laut China Selatan, tetapi menjadi panduan dalam isu-isu antarabangsa seperti konflik India-Pakistan, krisis di Gaza dan perang Ukraine.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berpendapat bahawa ACV 2045 lebih optimistik, walaupun dikelilingi oleh cabaran lama dari dalam ASEAN sendiri dan juga dari luar rantau.

Beliau berkata pada peringkat dalaman ASEAN, cabarannya adalah untuk mencari penyelesaian yang harmoni terhadap apa yang kelihatan seperti masalah yang tidak berkesudahan, iaitu isu Myanmar.

“Cabaran luar bersifat ekonomi, khususnya berkaitan ancaman tarif Amerika Syarikat (AS) yang turut dihadapi ASEAN, lebih penting dengan mencari rakan ekonomi luar AS dari seluruh dunia.

“Dari segi sosiobudaya, negara ASEAN telah membina rangkaian kerjasama berdaya tahan, hubungan antara rakyat, komuniti berpaksikan rakyat dan menggalakkan perjalanan dan lawatan antara negara ASEAN,” katanya.

Mengulas mengenai cabaran yang dijangka dalam menjayakan ACV 2045, pakar hubungan antarabangsa, pertahanan dan keselamatan Dr Nor Aishah Hanifa berkata globalisasi, perubahan dalam sistem antarabangsa dan ketidaktentuan memerlukan tindak balas inovatif untuk keselamatan ASEAN dan masyarakatnya.

“Pelbagai cabaran dihadapi seperti isu keamanan di rantau Indo-Pasifik seperti persaingan kuasa, digitalisasi dunia, keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI), perlindungan perdagangan dan sekatan, sekuriti makanan, tenaga dan air, kemiskinan, bencana alam, perubahan iklim dunia, dan pandemik.

“Deklarasi ini jelas menunjukkan hala tuju ASEAN, mencerminkan kematangan ASEAN dalam menghadapi cabaran globalisasi dan ketidaktentuan dunia. Hubungan luar juga dijalinkan dengan penuh diplomasi. ASEAN semakin dilihat sebagai pelindung sekuriti penting di rantau ini.

“Di bawah kepengerusian Malaysia dan peranan besar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ASEAN dijangka lebih dihormati sebagai blok serantau yang kuat. Suara ASEAN diiktiraf pada peringkat global, dengan lawatan Presiden China Xi Jinping (baru-baru ini) membuktikan ASEAN berjaya menyatukan kuasa besar dan negara lain tanpa mengira ideologi demi kestabilan dan kemajuan bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Prof Dr Sufian Jusoh berkata satu lagi cabaran utama ialah menjelaskan inti pati visi berkenaan kepada komuniti di ASEAN.

“Pertama sekali anda perlu menjelaskan kepada rakyat, kerana ia berpaksikan rakyat. Perlu jelaskan bagaimana mereka akan mendapat manfaat, hal itu yang paling penting,” katanya.

Deklarasi Kuala Lumpur merangkumi enam dokumen utama, termasuk pelan strategik bagi setiap tonggak ASEAN, iaitu Politik-Keselamatan, Ekonomi, Sosiobudaya, dan Ketersambungan. Secara keseluruhan, ia menetapkan 33 matlamat strategik dan 531 langkah konkrit.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan