AM

Negara Anggota Sepakat Perkukuh Prinsip Kepusatan ASEAN

28/05/2025 12:16 AM

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Negara anggota ASEAN mengulangi penegasan mengenai keperluan memperkukuh kedudukan pusat blok serantau itu dengan memupuk kepercayaan strategik antara negara melalui dialog, diplomasi dan niat baik.

Menurut kenyataan pengerusi yang dikeluarkan hari ini susulan berakhirya Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, mereka turut menekankan kepentingan mempertingkatkan hubungan luaran blok itu serta memperluaskan kerjasama yang saling menguntungkan di rantau ini serta di peringkat antarabangsa.

“Kami mengulangi penegasan mengenai kepentingan ketumbuhan dan kesatuan ASEAN dalam membentuk struktur serantau yang aman, stabil dan inklusif.

“Kami menegaskan keperluan untuk memperkukuh kepercayaan strategik dan keyakinan bersama antara negara anggota ASEAN serta rakan luar melalui dialog, diplomasi dan pematuhan kepada undang-undang antarabangsa, sambil memperdalam penglibatan luar ASEAN melalui kerjasama yang saling menguntungkan,” menurut kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu pemimpin ASEAN menekankan kepentingan integrasi ekonomi yang lebih mendalam serta aliran perdagangan dan pelaburan dalam kalangan anggota ASEAN, dengan tumpuan kepada pertumbuhan yang inklusif, tahan lasak dan lestari.

Sehubungan itu, mereka bersetuju untuk mempertingkatkan kerjasama dalam bidang seperti kewangan hijau, pelaburan lestari, transformasi digital dan kesalinghubungan rantaian bekalan bagi memastikan daya saing ASEAN dalam ekonomi global yang pesat berubah.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 berlangsung di bawah Kepengerusian Malaysia tahun ini yang bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”. 

Tahun ini juga menandakan kali kelima Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Bersempena dengan sidang kemuncak ini, dua pertemuan utama iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-Negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kali kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China kali pertama yang mencerminkan usaha kerjasama strategik antara rantau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan