AM

Pemimpin ASEAN Berlepas Pulang Setelah Sidang Kemuncak Ke-46 Berakhir

27/05/2025 11:42 PM

SEPANG, 27 Mei (Bernama) -- Pemimpin dan delegasi negara anggota ASEAN mula berlepas pulang selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan mesyuarat berkaitan yang berakhir hari ini.

Antara pemimpin yang berlepas dari Malaysia ialah Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong, Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone, dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet.

Mereka diberikan upacara pelepasan pulang dengan hamparan permaidani merah dan kawalan kehormatan oleh pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (Istiadat) sebelum berangkat pulang ke tanah air masing-masing.

Paetongtarn berlepas dengan menaiki pesawat khas di Kompleks Bunga Raya pada 7.10 malam, diikuti Wong yang pulang dengan penerbangan komersial dari Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8.20 malam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa hadir bagi mengucapkan selamat jalan kepada delegasi Thailand, begitu juga dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang bagi rombongan Singapura.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick pula mengucapkan selamat jalan kepada delegasi Laos manakala Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan turut berbuat demikian kepada Perdana Menteri Kemboja dan delegasi yang berlepas pada 9.30 malam.

Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr. dijadualkan berlepas pulang pada 11.30 malam ini dan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang akan hadir untuk mengucapkan selamat jalan.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 berakhir hari ini selepas beberapa siri pertemuan peringkat tinggi bertujuan memperkukuh kerjasama serantau dan perkongsian strategik.

Sepanjang dua hari, pemimpin ASEAN menyertai beberapa mesyuarat penting termasuk Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pertama, dan Sidang Kemuncak Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke-16.

Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, menandakan kali kelima negara memegang jawatan pengerusi selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan