AM

Pelan Strategik Sosio-Budaya ASEAN Bentuk Komuniti Berdaya Tahan, Inklusif

27/05/2025 06:37 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- ASEAN merangka agenda sosiobudaya yang berani untuk meningkatkan kehidupan lebih 680 juta penduduk di rantau ini menjelang 2045, dengan matlamat untuk membentuk komuniti yang berdaya tahan, inklusif dan berpaksikan rakyat ketika berhadapan dengan ketidaktentuan global.

Pelan berkenaan dibina berasaskan Pelan Strategik Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) 2025 dan bertindak balas terhadap cabaran baharu seperti penuaan penduduk, pengecualian digital, ancaman kesihatan awam, perubahan iklim dan ketidaksamaan sosial yang semakin lebar.

“Ia juga mengiktiraf peluang yang wujud daripada trend mega baharu seperti kemajuan teknologi digital serta ekonomi hijau dan biru,” menurut dokumen ASEAN 2045: Masa Depan Bersama.

Antara matlamat utama pelan ASCC adalah untuk mewujudkan komuniti berpaksikan rakyat dan saling berhubung melalui akses digital yang saksama, mobiliti serantau yang lebih baik, serta meningkatkan kerjasama dalam pendidikan, pembelajaran sepanjang hayat dan perlindungan sosial.

Strategi ini juga mengharapkan ASEAN yang prihatin dan inklusif yang menggalakkan kemakmuran bersama melalui pelaburan dalam kesaksamaan gender, pemerkasaan wanita, serta perlindungan terhadap pekerja asing, Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas yang lebih kukuh.

Aspek keselamatan dan daya tahan insan turut ditekankan, dengan ASEAN komited menangani kesihatan mental, penuaan, dan bencana alam melalui kerjasama antara kerajaan, masyarakat sivil dan sektor swasta.

“Penglibatan belia amat diutamakan. Pelan ini menggariskan langkah untuk melengkapi belia dengan kemahiran kepimpinan dalam inovasi, tindakan iklim dan keusahawanan, sambil mempromosikan penyertaan aktif dalam pembangunan sosioekonomi ASEAN.

“Pemerkasaan wanita juga menjadi fokus utama. ASEAN berhasrat meningkatkan penyertaan wanita dalam proses membuat keputusan, membangunkan dasar sensitif gender, dan melabur dalam infrastruktur penjagaan untuk mengurangkan beban kerja tidak bergaji dan meningkatkan kesejahteraan,” menurut dokumen itu.

Pelan ASCC turut menekankan kepentingan memelihara warisan budaya ASEAN yang kaya, bertujuan memperkukuh identiti serantau melalui seni, pendidikan, platform digital dan inisiatif berasaskan komuniti, terutamanya di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan.

ASEAN berhasrat membangunkan ekosistem sukan yang berkembang, meletakkan rantau ini sebagai hab kejohanan serantau dalam mempromosikan keamanan, keterangkuman, dan kesihatan sambil memacu pertumbuhan sosioekonomi.

Dari segi kemampanan, strategi berkenaan menggalakkan keterjaminan makanan dan air, akses kepada penjagaan kesihatan sejagat dan kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana.

“ASEAN akan melaksanakan sistem pemantauan dan penilaian yang kukuh untuk mengukur kemajuan melalui petunjuk prestasi utama, berpandukan Pangkalan Data ASCC untuk Pemantauan dan Penilaian (ADME), memastikan akauntabiliti dan tindakan tepat pada masanya. Kajian Separuh Penggal dijadualkan pada 2030, diikuti penilaian akhir pada 2035,” menurut dokumen itu.

Pada akhirnya, Pelan Strategik ASCC mencerminkan tekad bersama ASEAN untuk memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan, membina sebuah komuniti yang bersatu, penyayang dan bersedia untuk masa depan yang menghargai manusia dan alam sekitar.

Pelan yang diluluskan oleh pemimpin ASEAN melalui Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045, mengandungi enam dokumen utama yang berperanan sebagai asas kepada pembangunan serantau untuk dua dekad akan datang.

Perkara ini termasuk Visi Komuniti ASEAN (ACV) 2045, dan pelan strategik untuk komuniti politik-keselamatan, ekonomi, sosio budaya, serta pelan bagi ketersambungan dan integrasi serantau.

Setiap pelan strategik menggariskan matlamat dan langkah spesifik – Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) dengan sembilan matlamat dan 178 langkah, Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) (enam matlamat, 192 langkah), Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) (12 matlamat dan 112 langkah) serta Pelan Ketersambungan ASEAN (enam matlamat, 49 langkah).

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan