AM

10 Murid SK Taman Seri Rembau Angkat Seni Tarian Tradisional Ke Paris Oktober Ini

27/05/2025 11:35 AM

Oleh Nursyabiha Sukri

REMBAU, 27 Mei (Bernama) -- Sebanyak 10 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Seri Rembau akan mewakili negara dalam pertandingan tarian di The 35th International Competition and Festival of Folklore Dance and Music ‘Etoiles de Paris’ di Paris, Perancis dari 22 hingga 31 Okt ini.

Kumpulan tarian Seri Baiduri terdiri daripada lima murid lelaki dan lima perempuan darjah lima serta enam, di bawah bimbingan guru Bahasa Inggeris Mohd ‘Ainuddin Mohd Ramlan memilih tarian inang menggunakan lagu rakyat untuk dipersembahkan pada pertandingan tersebut.

Guru Besar SK Taman Seri Rembau Zulkarnain Abd Kadir berkata penyertaan julung kali murid sekolah itu, bukan sahaja membanggakan sekolah dan Negeri Sembilan, tetapi juga menjadi platform penting untuk mengangkat martabat seni tarian tradisional ke persada antarabangsa.

“SK Taman Seri Rembau banyak mengukir kejayaan dalam pelbagai pertandingan kesenian. Murid terlibat juga pernah membuat persembahan di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan (JKKNNS).

“JKKNNS mula mengesan potensi kumpulan tari itu dua tahun lepas. Mereka juga menerima Anugerah Emas pada Pertandingan Tarian Kanak-kanak MADANI Kebangsaan 2025 di Kuala Lumpur baru-baru ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Murid berbakat itu terdiri daripada Erina Az-zahra Rose Nur Muhammad Hazim, Muhammad Nur Ziqri Mohd Helmy Rizal, Nur Imani Khairunnisa Ahmad Tajudin, Ahmad Redza Yussaini Zamir, Nu’ Ayman Aqil Mohd Nashriq, Putri Adila Zulaika Shah Rizam, Muhammad Aryan Rizqi Shamshidan, Daris Nufail Rayyan Mohd Yamin, Nur Dhia Nadhirah Abd Latif dan Irdina Zafirah Mohd Ilham.

Bagaimanapun, Zulkarnain berkata mereka masih memerlukan bantuan kewangan daripada pihak swasta dan korporat bagi membantu merealisasikan impian murid terlibat mengembangkan bakat di persada antarabangsa.

“Mereka yang sudi menghulurkan bantuan boleh menghubungi pihak sekolah untuk mendapatkan maklumat lanjut dan kami menghargai keprihatinan setiap pihak, kerana kos keseluruhan melibatkan RM140,000 merangkumi logistik, kostum dan yuran penyertaan.

“Antara inisiatif kami bagi menjana dana termasuklah menganjurkan program Dermathon SK Taman Seri Rembau, Staser Fest 2.0, serta Rembau Rumble Run, dijadualkan berlangsung pada 26 Julai,” katanya.

Zulkarnain turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa murid sekolah itu kerana sentiasa menyokong inisiatif sekolah memartabatkan seni budaya melalui bakat generasi muda.

Sementara itu, Mohd ‘Ainuddin berkata penyertaan murid dalam pertandingan di pentas antarabangsa mampu membentuk mereka menjadi insan lebih berani, berkebolehan dan penuh keyakinan diri, selain memberi pengalaman berharga kepada ahli kumpulan tari tersebut.

“Saya melatih murid terlibat sejak empat tahun lepas, bermula daripada asas tarian, penghayatan seni tari dan mengasah kemahiran tarian. Jadi, saya yakin mereka boleh memberikan persembahan menarik dalam pertandingan itu berdasarkan pengalaman dan bakat yang ada,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan