AM

Lantikan Utusan Khas Tetap ASEAN Cermin Komitmen Serantau - Pemerhati

25/05/2025 11:02 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Cadangan untuk melantik seorang Utusan Khas Tetap ASEAN mengenai Myanmar dilihat sebagai manifestasi komitmen politik serantau dalam menangani krisis di negara itu.

Felow Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Muhamad Azwan Abd Rahman berkata usaha itu mencerminkan pendekatan ASEAN menangani konflik berlarutan di Myanmar, yang memerlukan kesepaduan dan keberanian politik.

“Apabila kita menyentuh isu Myanmar, ia merupakan sesuatu yang rumit tetapi keputusan hari ini menunjukkan ASEAN kini berada pada landasan untuk membuktikan komitmen yang lebih jelas, berani dan adil,” katanya ketika menjadi tetamu Siaran Khas Sidang Kemuncak Ke-46: Diplomasi Serantau dan Kuasa Global terbitan Bernama TV di sini, hari ini. 

Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN yang berlangsung hari ini bersetuju supaya ASEAN menggunakan perundingan dalaman mengenai cadangan untuk melantik seorang Utusan Khas Tetap ASEAN  mengenai Myanmar bagi satu penggal selama tiga tahun.

Langkah itu bertujuan memastikan kesinambungan dan kemampanan dalam libat urus bagi menangani krisis yang berlarutan.

Mengulas lanjut, Muhamad Azwan berkata cadangan pelantikan utusan khas secara tetap untuk tempoh tiga tahun itu adalah langkah pragmatik yang memberi ruang bagi membina kepercayaan dan menjayakan dialog yang inklusif dan berterusan di negara terbabit.

Beliau berkata keberanian ASEAN mempertimbangkan lantikan bersifat tetap itu juga menunjukkan kesediaan rantau ini untuk menghadapi realiti politik di Myanmar secara berstruktur dan konsisten.

“Kita tahu konflik di Myanmar melibatkan pertarungan kuasa yang kompleks, dan rakyat sendiri mahukan perubahan. ASEAN tidak boleh hanya menjadi penonton, mesti berperanan sebagai wahana untuk rakyat menentukan masa depan mereka sendiri,” katanya.

Beliau turut menegaskan mana-mana utusan khas yang dilantik perlu bersifat terbuka dan mampu berinteraksi dengan pelbagai pihak berkepentingan. 

Mengikut amalan, utusan khas dilantik oleh pengerusi ASEAN secara tahunan.

Sebagai pengerusi ASEAN 2025, Malaysia melantik bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Othman Hashim sebagai Utusan Khas ASEAN mengenai Myanmar yang kelima sejak rampasan kuasa tentera pada Februari 2021 yang mencetuskan krisis politik dan kemanusiaan di negara itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan