JOHOR BAHRU, 24 Mei (Bernama) -- Keputusan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberikan petunjuk jelas mengenai hala tuju masa depan parti itu serta negara, kata Naib Presiden PKR Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau yang juga Menteri Besar Selangor itu berkata barisan kepimpinan baharu yang dipilih perwakilan perlu memainkan peranan penting dalam memastikan PKR terus menjadi parti induk dalam pentadbiran kerajaan pada masa akan datang.
“Setelah melalui proses yang mencabar dan getir, kita kini berada di titik akhir bagi memuktamadkan Kongres Nasional. Ini bermakna kita telah membentuk satu lapisan kepimpinan baharu untuk memikul harapan anggota parti serta rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional Tahunan PKR 2024/2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini.
Amirudin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor berkata kepimpinan baharu juga perlu bersedia memastikan PKR kekal relevan dalam kerajaan serta mendukung kepimpinan Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk penggal kedua sebagai Perdana Menteri.
Naib Presiden PKR Datuk Seri R. Ramanan pula menekankan kepentingan semua ahli parti menguasai semula naratif dan persepsi di media sosial menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Beliau berkata selepas menjadi kerajaan, parti itu menjadi terlalu selesa sehingga mengabaikan aspek komunikasi strategik di platform digital sekali gus mendedahkan parti kepada fitnah oleh pihak lawan.
“Saya yakin dengan strategi yang betul dan gerak kerja tersusun, kita mampu menawan kembali medan media sosial serta membawa kemenangan kepada Pakatan Harapan dalam PRU16 dan memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Datuk Seri Aminuddin Harun pula mencadangkan agar tiga isu utama yang menimbulkan keresahan rakyat, iaitu pelaksanaan e-invois, penyelarasan subsidi gas untuk peniaga kecil dan penyelarasan harga petrol ditangani segera oleh kerajaan.
Beliau berkata kesemua isu berkenaan berisiko menggugat sokongan rakyat jika tidak ditangani secara cermat menjelang PRU akan datang.
Seorang lagi Naib Presiden Chang Lih Kang pula menyeru seluruh ahli PKR kembali memberi tumpuan kepada usaha memenangi PRU16 serta Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka diadakan tidak lama lagi.
“Fokus kita sebagai parti politik adalah untuk menang pilihan raya. Kita perlu bekerja keras memastikan PKR kekal dalam kerajaan pusat dan Presiden kita terus menjadi Perdana Menteri,” katanya.
Beliau turut mencabar sayap Angkatan Muda Keadilan (AMK) untuk segera memulakan gerak kerja di kawasan sukar yang masih belum dikuasai oleh PKR.
Sementara itu, Ketua AMK Muhammad Kamil Abdul Munim berkata setiap ahli PKR bertanggungjawab memberi penerangan yang berkesan mengenai dasar serta inisiatif yang dilaksanakan kerajaan memandangkan terdapat rakyat yang masih tidak mengetahui manfaat disediakan.
Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek pula mengingatkan kepada semua ahli supaya terus setia dan meletakkan kepercayaan penuh kepada kepimpinan baharu bagi membawa parti ke arah yang lebih gemilang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial