DUNIA

Azerbaijan Minat Kongsi Pengalaman Dengan Malaysia Dalam Penyampaian Perkhidmatan Awam

06/12/2024 12:10 PM

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Azerbaijan berminat untuk bekerjasama dan bertukar pengalaman dengan agensi kerajaan Malaysia dalam penyampaian perkhidmatan awam dan inovasi sosial, kata duta negara itu ke Malaysia Irfan Davudov.

Davudov berkata negaranya ingin berkongsi pengalaman dan kecekapan Rangkaian Perkhidmatan dan Penilaian Azerbaijan (ASAN xidmet) dengan Malaysia, berharap langkah itu dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dalam bidang penyampaian perkhidmatan awam dan inovasi.

Beliau menekankan bahawa kerjasama sedemikian boleh mengubah produktiviti perkhidmatan awam, dengan memperlihatkan kemajuan perkhidmatan ASAN bersama agensi Malaysia yang serupa.

Davudov secara khusus menyebut potensi kerjasama dengan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Malaysia, yang dilancarkan pada Jun 2012 dengan fokus kepada pertukaran pengetahuan dan pengalaman.

"Kedua-dua negara boleh menjalin kerjasama dan berkongsi pengalaman mereka, menangani cabaran, menganjurkan latihan bersama dan lawatan untuk pegawai-pegawai agensi yang terlibat.

"Kami percaya terdapat pengalaman berharga yang ASAN boleh pelajari daripada model UTC dan agensi kerajaan Malaysia lain yang terlibat dalam penyampaian perkhidmatan awam dan inovasi sosial, serta begitu juga sebaliknya," katanya.

Davudov percaya kerjasama sedemikian juga boleh membantu mengembangkan dan mengukuhkan hubungan dua hala dalam bidang pentadbiran awam.

Azerbaijan dan Malaysia menjalinkan hubungan diplomatik pada 1993.

ASAN xidmet yang memenangi anugerah ini merupakan model penyampaian perkhidmatan awam paling maju di negara itu yang ditubuhkan di bawah Agensi Negeri untuk Perkhidmatan Awam dan Inovasi Sosial (SAPSSI) pada tahun 2012. Ia adalah model kedai sehenti unik yang menawarkan lebih 400 perkhidmatan kepada 10.4 juta penduduk Azerbaijan, yang disediakan oleh 15 organisasi awam dan 30 organisasi swasta di bawah satu bumbung.

Davudov berkata perkhidmatan ASAN telah berjaya menghapuskan rasuah di semua peringkat penyampaian perkhidmatan awam, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi keseluruhan Azerbaijan dan dengan itu meningkatkan kepercayaan orang ramai terhadap kerajaan.

"Kami cuba mempromosikan inisiatif ini ke seluruh dunia dan sebenarnya, beberapa negara telah pun mencipta perkhidmatan ASAN mereka sendiri, berdasarkan model kami," tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan