DUNIA

Kualiti Udara Di Ibu Negara India Pada Paras "Bahaya"

14/11/2024 06:31 PM

NEW DELHI, 14 Nov (Bernama-Anadolu) -- Kualiti udara di ibu negara India, New Delhi merosot ke paras merbahaya pada Khamis ketika kabus asap yang tebal menyelubungi negeri-negeri di utara, lapor Agensi Anadolu.

Menurut Sistem Amaran Awal Kualiti Udara yang dikendalikan kerajaan untuk Delhi, Indeks Kualiti Udara (AQI) Delhi pada pagi Khamis mencatatkan bacaan 424.

Bacaan AQI antara 201 hingga 300 adalah "tidak sihat", 301 hingga 400 "sangat tidak sihat" dan "merbahaya" antara 401 hingga 500.

Menurut pakar, AQI dalam kategori merbahaya boleh menjejaskan kesihatan orang yang sihat.

Selama beberapa hari ini, ibu negara itu diselubungi kabus asap tebal, yang semakin memburukkan kualiti udara di ibu negara dan kawasan bersebelahan.

Pencemaran udara telah menjadi masalah berterusan di New Delhi dan menjadi semakin teruk pada musim sejuk apabila petani di kawasan berhampiran membakar sisa pertanian dan menambah kepada pelepasan asap dari loji arang batu dan unit perindustrian di sekitar bandar.

Di negeri utara India yang lain, pegawai cuaca berkata kabus asap tebal menyelubungi beberapa bandar, malah menjejaskan operasi kereta api dan penerbangan. 

Menurut Jabatan Meteorologi India, kabus tebal dilaporkan di beberapa bandar pada pagi Khamis.

Prosedur penglihatan rendah sedang dilaksanakan di lapangan terbang Delhi, kata pegawai.

Menurut ramalan cuaca, kualiti udara dijangka kekal dalam kategori merbahaya di Delhi pada Khamis dan berkemungkinan berada dalam kategori "sangat tidak sihat" dari Jumaat hingga Ahad.

Di negara jiran Pakistan, kerajaan wilayah Punjab di timur laut mengarahkan orang ramai supaya kekal di rumah dan mengarahkan pejabat awam serta swasta melaksanakan dasar bekerja dari rumah bagi melindungi orang ramai daripada paras kabus asap yang tinggi.

Agensi Perlindungan Alam Sekitar berkata Indeks Kualiti Udara (AQI) semasa di Lahore adalah 313, yang sangat berbahaya untuk kesihatan.

“50 peratus daripada semua kakitangan pejabat swasta diarahkan bekerja dari rumah disebabkan situasi kabus asap, keputusan itu terpakai kepada semua pejabat swasta, francais, NGO dari 13 November hingga 31 Disember,” lapor Agensi Anadolu seperti yang dinyatakan oleh agensi perlindungan itu di X.

Kerajaan Punjab telah menutup sekolah di beberapa daerah dan mengarahkan semua pasar ditutup pada 8 malam serta menyekat aktiviti luar, termasuk larangan memasuki taman, zoo, muzium dan venue sukan untuk melindungi orang ramai.

AQI, yang mengukur pelbagai jenis bahan pencemar, meningkat melebihi 500 pada minggu lepas di Lahore.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan