AM

Perintah Gaji Minimum RM1,700 Berkuat Kuasa Sepenuhnya Pada 1 Ogos

22/07/2025 01:56 PM

PUTRAJAYA, 22 Julai (Bernama) -- Perintah Gaji Minimum (PGM) 2024 sebanyak RM1,700 sebulan akan berkuat kuasa sepenuhnya mulai 1 Ogos ini.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan perintah tersebut akan terpakai kepada semua majikan di seluruh negara, tanpa mengira bilangan pekerja yang digajikan susulan pelaksanaan penagguhan selama enam bulan yang diberikan sebelum ini, yang akan tamat pada 31 Julai ini.

"Mulai 1 Ogos ini, semua majikan tanpa pengecualian, termasuk mereka yang sebelum ini menikmati tempoh penangguhan, perlu mematuhi perintah gaji minimum sebanyak RM1,700 sebulan. 

"Ini termasuk untuk pekerja bukan warganegara dan pekerja kontrak perantisan, namun tidak terpakai kepada pekhidmat domestik," menurut kenyataan itu.

KESUMA meminta supaya semua majikan menyemak semula struktur gaji syarikat bagi memastikan tiada pekerja menerima gaji pokok di bawah kadar minimum yang ditetapkan dan membuat penyesuaian operasi secara progresif dengan memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti serta latihan kemahiran pekerja.

KESUMA turut mengingatkan bahawa kegagalan mematuhi Perintah Gaji Minimum merupakan satu kesalahan di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.

Majikan yang ingkar boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 bagi setiap pekerja, denda tambahan sebanyak RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan, dan bagi kesalahan berulang, serta denda maksimum boleh mencecah RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun.

Sementara itu KESUMA turut menggalakkan majikan untuk memanfaatkan Dasar Gaji Progresif (DGP) yang bersifat sukarela dan bertindak sebagai pelengkap kepada pelaksanaan gaji minimum. 

"Melalui DGP, majikan berpeluang meningkatkan pendapatan pekerja berdasarkan produktiviti, kemahiran dan sumbangan kerja, sambil menikmati insentif tunai bersasar daripada kerajaan. 

"Ini bukan sahaja membantu syarikat mengekalkan pekerja berkemahiran tinggi, malah turut mengukuhkan daya saing jangka panjang dalam pasaran buruh yang semakin mencabar," menurut kenyataan itu lagi.

 Aduan mengenai pelaksanaan Perintah Gaji Minimum boleh dikemukakan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di seluruh negara atau melalui laman rasmi Kementerian Sumber Manusia manakala maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang www.minimumwages.mohr.gov.my.

Maklumat mengenai DGP pula boleh dilayari di  www.gajiprogresif.gov.my.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan